Kenangan Bersolat Jumaat di California
Ditulis pada November 18, 2011 – 5:22 pm | Oleh nuaeman Share
California merupakan salah satu wilayah terbesar di bumi Amerika Syarikat. Di sini letaknya bandar-bandar ternama antaranya Los Angeles, San Diego, Oakland dan San Francisco. Wilayah yang mempunyai populasi penduduk terbesar di negara Uncle Sam ini juga kaya dengan pelbagai tempat-tempat menarik bagi dikunjungi pelancong seperti Disneyland, Universal Studios, Hollywood, Beverley Hills dan banyak lagi. Oleh kerana itu siapa yang mampu menolak ketikamana diberi peluang untuk pergi ke sana tanpa mengeluarkan sebarang kos malah diberikan pula wang perbelanjaan. Ia mungkin peluang yang datang sekali dalam seumur hidup!
Apabila ditawarkan peluang untuk terbang ke Los Angeles, California bagi mengikuti kursus berkenaan produk baru syarikat, sukar rasanya bagi diri ini menolak meski tarikh penerbangan berselisih dengan tarikh konvokesyen saya di salah sebuah IPT tempatan. Dengan berat hati saya terpaksa melupakan majlis konvesyen itu demi menyempurnakan tanggungjawab dan kepercayaan yang sudah diberikan oleh pihak syarikat. Manakan tidak, pada ketika itu saya sebenarnya baru sahaja menghampiri setahun berkhidmat di syarikat yang terlibat dalam teknologi pembuatan mesin pengimbas itu.
Penerbangan dari Kuala Lumpur ke Los Angeles memakan tempoh masa yang agak panjang iaitu menghampiri dua puluh jam. Agak puas juga berada di dalam kapal terbang. Mujur dapat berhenti seketika di Lapangan Terbang Narita di Jepun. Suatu perkara yang meletihkan sekiranya hendak menghabiskan masa terlalu lama di tempat duduk kapal terbang yang sedia maklum agak sempit meski dilengkapi dengan layar LCD yang menyediakan rangkaian filem dan radio sebagai hiburan kepada penumpang.
Di California saya ditempatkan di Ramada Limited yang terletak di Torrance, sebuah daerah kecil yang berada dalam wilayah Los Angeles. Ramada Limited adalah sebuah hotel yang agak sederhana namun cukup memberikan keselesaan. Tambah menarik kedudukan hotel ini begitu hampir dengan Dell Amo Mall, sebuah gedung fesyen terbesar di selatan California dan juga pasar raya Albertsons, sebuah gedung barangan harian seumpama Tesco dan Giant di Malaysia. Ini memudahkan saya bagi mencari sebarang barangan keperluan kerana hanya perlu berjalan kaki sahaja untuk sampai ke tempat-tempat itu.
Dihormati sebagai seorang muslim
Sebelum tiba di California wujud juga perasaan bimbang berkenaan penerimaan islam oleh masyarakat setempat. Apatah lagi selepas terbaca pelbagai kisah berkenaan diskriminasi terhadap islam dibumi Eropah dan Amerika namun segala kebimbangan itu mula lenyap perlahan-lahan setelah saya berada di sana.
Semasa tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Los Angeles, seorang penguatkuasa yang berkulit hitam sempat berseloroh dengan saya sebaik sahaja mengetahui saya seorang muslim dengan berkata, “Oh, kamu seorang muslim. Hati-hati ya, kerana di sini ramai gadis-gadis cantik yang akan menggoda kamu.” Kata-katanya itu hanya dijawab dengan segaris senyum daripada saya. Tiada sebarang masalah besar yang dihadapi sewaktu hendak melepasi pemeriksaan keselematan oleh pegawai penguatkuasa di lapangan terbang itu.
Saya mengikuti kursus di bangunan utama syarikat di Los Angeles yang letaknya di kawasan perindustrian El Segundo yang hanya mengambil masa kira-kira lima belas minit untuk sampai daripada hotel. Saya dijemput dan dihantar pulang semula ke hotel pada setiap hari.
Situasi di tempat kerja juga tidak memberi masalah kepada saya untuk melaksanakan segala tuntutan sebagai seorang muslim terutamanya berkenaan solat lima waktu. Meski di situ tidak disediakan surau namun saya dibenarkan bersolat apabila tiba masanya di dalam sebuah kontena yang terisi kotak-kotak pembungkusan produk yang dikeluarkan oleh pihak syarikat. Mungkin ada kekurangan dari segi keselesaan namun lebih baik daripada tiada ruang langsung untuk beribadah.
Rakan-rakan sekerja yang rata-ratanya terdiri daripada rakyat Amerika juga begitu menghormati saya sebagai seorang muslim sehinggakan ada diantara mereka yang sudi membawa saya ke salah sebuah restoran makanan halal di Los Angeles iaitu Al-Watan Halal Restaurant. Restoran ini menyediakan masakan India dan Pakistan antaranya nasi beryani, ayam tadoori, kebab dan kari daging. Di sinilah adakalanya saya bertemu dengan beberapa orang remaja Malaysia yang menuntut di Amerika Syarikat. Selama berkursus di sana saya tidak merasakan sebarang diskriminasi yang dilakukan oleh pihak mereka.
Pengalaman pertama bersolat Jumaat di California
Pada minggu pertama di California, perkara yang sangat diresahkan ialah di mana hendak menunaikan solat jumaat. Kebetulan pula pada hari jumaat yang pertama saya di sana adalah merupakan cuti umum bagi Amerika Syarikat bersempena dengan Good Friday. Semasa tidak tahu ke mana hendak membawa diri lalu saya hanya berlegar-legar di sekitar hotel sambil mengharapkan bertemu dengan mana-mana saudara semuslim yang dapat memimpin saya ke masjid berdekatan sekiranya ada.
Ketika saya sedang duduk di salah sebuah bangku berdekatan dengan kawasan lobby hotel tiba-tiba ada sebuah kereta mewah bewarna putih tiba-tiba berhenti di hadapan saya. Pemandunya menurunkan cermin kereta lalu bertanya kepada saya dalam bahasa melayu, “mahu pergi solat jumaat?”. Saya mengangguk. Kemudian pemandu tersebut mempelawa saya masuk ke dalam keretanya lalu serta merta bibir saya mengukir senyum.
Pemandu tersebut merupakan seorang ahli perniagaan berbangsa melayu yang sudah lama menetap di Los Angeles. Secara kebetulan dia singgah ke Ramada Limited bagi menyelesaikan sedikit urusan lalu terpandang saya di sudut luar. Melihat rupa paras saya seperti orang melayu membuatkan dia tergerak untuk menegur.
Akhirnya pada hari itu saya dapat bersolat Jumaat di Pusat Islam South Bay. Sememangnya segala yang tidak disangka itu berlaku atas kehendak Allah. Tidak henti-henti saya memanjatkan syukur, tuhan sahaja yang tahu perasaan saya pada masa itu. Benarlah sebagaimana maksud sebuah hadis qudsi yang terkenal, “Jika hamba-Ku mendekati-Ku dengan jarak sedepa, Aku akan menghampirinya sedekat jarak lengan dan jika dia datang kepada-Ku dengan berjalan, Aku akan datang kepadanya dengan kelajuan.”
Suasana solat jumaat di sini sedikit berbeza. Khutbah pertama disampaikan dalam bahasa arab dengan begitu bersemangat sekali sehingga saya tidak terasa mengantuk langsung meski kurang memahaminya. Manakala khutbah kedua pula disampaikan dengan menggunakan bahasa inggeris. Pada hari itu saya bukan sahaja dapat bersolat Jumaat bahkan turut dijamu dengan kebab yang dijual diluar Masjid. Selepas hampir seminggu menjamah mee segera dan lauk-lauk segera tentunya kebab itu terasa nikmat sekali.
Bagi minggu-minggu berikutnya pula saya dibenarkan bersolat Jumaat di Pusat Islam Hawthorne yang kedudukannya tidak terlaju jauh dengan bangunan utama syarikat tempat saya mengikuti kursus. Syukur kerana pihak pentadbiran begitu memahami tanggungjawab saya sebagai seorang muslim. Mereka menghantar kami ke pusat islam kira-kira jam 12 tengahari dan mengambil kami semula pada jam 2 petang.
Mencari makanan halal tidak sukar
Oleh kerana tidak tahu di mana boleh dapatkan makanan halal maka pada minggu pertama di Los Angeles saya banyak menjamah mee segera dan juga lauk-lauk segera yang dibawa dari Malaysia. Namun selepas diperkenalkan dengan restoran-restoran makanan halal serta kedai-kedai yang menyediakan makanan untuk orang muslim maka segalanya menjadi semakin mudah.
Berhampiran dengan Restoran Halal Al-Watan yang terletak di Inglewood Avenue itu sendiri terdapat sebuah pasar mini yang dinamakan sebagai Al-Watan Meat and Produce Market. Pasar mini ini menyediakan daging halal serta barangan makanan harian lain seperti biskut, bijirin, dan jus. Waktu perniagaan mereka adalah pada jam sepuluh pagi hingga lapan malam bagi hari isnin hingga selasa manakala pada jam sebelas pagi hingga sepuluh malam untuk hari khamis sehingga ahad.
Satu lagi perkara yang sedikit memudahkan apabila kita berada di negara seperti Amerika Syarikat ini ialah setiap barangan yang mahu dibeli di pasaraya ada dinyatakan isi kandungannya pada setiap pek makanan dengan bahasa yang mudah kita fahami. Oleh itu kita boleh meneliti samada sesuatu barangan makanan itu contohnya seperti coklat, biskut, roti dan makanan ringan mengandungi campuran bahan yang tidak halal ataupun tidak sebelum membelinya. Ada pula sesetengah makanan yang diimport dari Arab Saudi ataupun negara Islam lain telah sedia diberikan cop halal.
Terlalu banyak destinasi menarik
Sebagaimana sudah dinyatakan dari awal, sememangnya begitu banyak lokasi menarik di California yang boleh dikunjungi. Saya berkesempatan ke Universal Studios iaitu sebuah taman tema yang dilengkapi dengan pelbagai permainan yang bersumberkan filem-filem yang pernah diterbitkan oleh Universal Studios seperti Jurassic Park, The Mummy, King Kong, Terminator dan banyak lagi. Bagi saya, satu hari belum cukup untuk kita merasai semua jenis permainan yang disediakan di dalamnya.
Pengalaman berada di Universal Studios memang menyeronokkan namun ada satu masalah timbul bagi orang muslim seperti saya yang mana tiada tempat untuk bersolat lalu sekiranya kita membawa kompas dan sejadah maka nasihat saya bersolat sahajalah dimana-mana kawasan yang kita rasakan tidak mengganggu perjalanan orang ramai.
Berjalan kaki merentasi Walk of Fame di pekan Hollywood yang berada di tengah bandaraya Los Angeles juga menarik. Berbeza dengan Universal Studios yang mana dengan hanya satu bayaran masuk kita boleh merasai semua jenis permainan di dalamnya namun di Hollywood kita perlu membeli tiket bagi setiap satu tempat yang mahu dimasuki antaranya Grauman Chinese Theatre, Hollywood Wax Museum dan Hollywood Entertainment Museum. Malah untuk bergambar dengan mana-mana individu yang memakai prop watak-watak di dalam filem Hollywood juga dikenakan bayaran samada satu hingga lima dolar!
Di Hollywood ini saya singgah bersolat Asar di salah sebuah kedai yang menjual cenderahati yang dimiliki oleh seorang muslim berketurunan Bangladesh. Itu pun selepas diberitahu oleh pemandu pelancong kami yang merupakan warganegara Malaysia yang masih menuntut di sana. Sekiranya mahu membeli sebarang cenderahati seperti rantai kunci, topi mahupun baju saya nasihatkan dapatkan sahaja di Hollywood ini kerana harganya masih lagi berpatutan.
Ada sebuah lagi tempat yang tidak kurang menariknya bagi saya ialah Roadium Open Market yang terletak di Redondo Beach Boulevard. Di sini kita boleh mendapatkan pelbagai barangan seperti baju, beg, kasut, jeans barangan antik ataupun peralatan elektronik dengan nilai yang luar biasa murah. Beza harga yang ditawarkan boleh mencecah sehingga 75 peratus berbanding harga di pasaraya biasa bagi barang yang sama. Pasar terbuka ini di buka pada setiap hari dari jam 7 pagi hingga 4 petang.
Sikap yang wajar dicontohi
Sepanjang berada di California sempat saya meneliti beberapa budaya yang baik yang wajar dijadikan teladan. Apa yang nyata sekali ialah sikap peniaga di beberapa buah kedai yang saya kunjungi. Kebiasaannya mereka akan menegur kita dengan ramah sekali apabila kita masuk ke gerai mereka.
Bukan itu sahaja malah mereka turut bertanya khabar tentang diri kita. Sikap begini membuat kita berasa lebih senang dengan peniaga tersebut. Mereka tidak mengekori ke mana sahaja kita bergerak namun hanya berpesan, “tuan pilihlah apa yang tuan mahu dan sekiranya memerlukan apa-apa bantuan saya ada di sini bagi membantu.” Bukankah sikap sebegitu lebih baik daripada terus mengekori dengan memek wajah yang tidak mesra sehingga menjadikan diri kita tidak selesa hendak memilih dan membuat pembelian.
Satu lagi perkara yang saya puji ialah disiplin mereka terhadap harta benda awam. Sepanjang saya berada di sana tidak pernah sekali saya temui telefon awam yang rosak atau musnah dek kerana dibakar, dipecahkan ataupun terputus tali gagangnya sepertimana yang saya biasa lihat di tanah air sendiri. Kondisi harta benda awam dilihat sentiasa dalam berkeadaan baik.
Saya lebih terkesan semasa berada di Pusat Islam setiap jumaat. Suka saya melihat masyarakat Islam yang datang dari latar belakang fahaman dan mazhab yang berbeza boleh duduk bersama melaksanakan tuntutan tuhan. Kita menghormati nilai pegangan masing-masing dan selesai solat kami selalu diperingatkan dengan penderitaan saudara-saudara seislam di Palestin. Ia membuat saya berfikir sejenak mengapa umat islam itu boleh bersatu apabila mereka berada dalam satu komuniti yang kecil namun sikap sebegitu dilihat semakin sukar diterjemahkan di beberapa buah negara Islam hari ini sehinggakan umat islam bercakaran sesama sendiri. Paling teruk apabila kita bergaduh hanya kerana masalah ranting. Pelik bukan?
Saya berasakan sangat bertuah kerana mendapat peluang merasai pengalaman berada di bumi California itu. Banyak perkara tentang kehidupan yang pelajari di sana selain ilmu berkaitan produk baru syarikat yang menjadi tugasan sebenar mengapa saya dihantar ke sana. Sekiranya diberi peluang sudah tentu saya mahu menjejakkan kaki ke sana lagi.
*Ini merupakan artikel saya yang tersiar dalam Majalah I keluaran September 2011
Entri Berkaitan:
- Hukum Berjual Beli di Masjid pada hari Jumaat.
- Jumaat Yang Barakah…
- Rumah Kenangan…
- Senda Jumaat : Kain Kapan si Putar Alam
Tags: Bersolat jumaat di california, majalah i sept 2011, Travelog Iman







3 Responses to “Kenangan Bersolat Jumaat di California”
By Shaffik on Nov 24, 2011 | Reply
Terbaik laa mat..best betul baca pengalaman ko ni mat..
Shaffik recently posted..Ada Lagi Macam Ni Di Malaysia……
[Reply]
nuaeman Reply:
November 25th, 2011 at 9:45 am
Terima kasih bro… eh bila nak NAP?
nuaeman recently posted..Terhapusnya Kepercayaan Khurafat dengan Kejayaan Harimau Muda
[Reply]
By Cyza on Jan 1, 2012 | Reply
Nice article amat…memang lain benor dari novel kedua ko tu…hoho
Cyza recently posted..Served News OR Alternative News – Your Choice
[Reply]