Apakah Mereka Mengerti?
Ditulis pada August 11, 2009 – 7:25 am | Oleh nuaeman Share
Ingin sekali aku cuba menyelami jiwa anak kecil. Wujud rasa ingin tahu apakah yang difikirkan oleh mereka tatkala dimarahi ataupun dipuji. Kadangkala atas kelemahan diri, boleh saja kita terlanjur memarahi mereka sedangkan pada peringkat ini sepatutnya kita yang perlu banyak bersabar serta cuba memahami sikap mereka yang unik itu kerana kesilapan dari terlalu menuruti emosi diri boleh meninggalkan rasa bersalah terhadap mereka.
Akhir-akhir ni ragam si Ammar bagai mencabar tahap kesabaran ayah dan ibunya. Aku suami isteri berusaha untuk tidak memarahinya dengan kasar apatah lagi memukul tetapi cukup dengan memperingatkan dia dengan tegas. Hendak dijadikan cerita ada perkara yang dilakukannya hari ini mengundang rasa marah sang ibu.
Terkejut mungkin dengan kemarahan yang diserlahkan sang ibu maka naiklah anak ini ke tingkat atas mencari ayahnya. “ Ayah…, ayah… ibu uwat..” sambil merengek. Aku menyambut dia dengan pelukan erat kemudian menguncupi dahinya sambil membisikkan di telinga “ Ammar dah jadi abang.., Ammar kenalah dengar cakap ibu dan ayah.., kesian ibu.. ibu penat.. kalau ayah tak ada nanti Ammar lah kena jaga ibu dengan adik..”
Tidak diketahui samada anak kecil ini faham atau tidak maksud kata-kata aku itu lantas selepas diberikan susu Ammar terus terlena hinggalah dikejutkan untuk mandi. Malamnya kami sekeluarga keluar sebentar untuk mencari barang keperluan tetapi hanya aku seorang sahaja yang masuk kekedai manakala isteri dan anak-anak tinggal dalam kereta angkara risau dengan virus H1N1 yang telah semakin mengganas akhir-akhir ini.
Semasa pulang semula kerumah adalah menjadi kebiasaan bagi si ibu untuk bawa Akram masuk dahulu dan aku pula menyusul dengan barang-barang yang dibeli. Pintu kereta dibiarkan terbuka buat sementara. Sesuatu yang sedikit luar jangkaan berlaku dihadapan mata aku. Ammar keluar dari kereta dan terus tutupkan pintu kereta dibahagian ibunya sebaik sahaja si ibu keluar kemudian disusuli pintu bahagian pemandu. Tak cukup dengan itu anak kecil berusia 2 tahun 5 bulan ini berusaha pula membawa masuk sebahagian barang yang dibeli. Aku terfikir semula apakah Ammar faham kata-kata aku siang tadi?
Seusai makan malam kami Ammar minta dibuatkannya susu. Sambil melayang fikiran mungkin, Ammar terus hanyut dihimpit lena. Aku dan ibunya mengusap kepala Ammar. Bertanya kami sesama sendiri “ Apakah mungkin dia memahami bait kata ibu bapanya hingga mendorong dia lakukan sesuatu yang luar jangka..?”
Mungkin ini kata hatinya….
“Ibu… Ayah..
Ammar sayang ibu.. , ayah… dan adik..
Ammar nak ibu dan ayah bangga dengan Ammar..
Maaf kalau Ammar berlaku salah..
Tapi.. Ammar mahu juga bermain seperti kanak-kanak lain..
Nakal itu adalah fitrah bagi Ammar tapi jauh sekali ianya untuk menyakiti hati ibu dan Ayah..
Air jernih keluar dari kelopak mata si ibu waktu menguncup dahi Ammar. Begitu juga aku ketika menghembuskan “Ya Lotiff” di ubun-ubunnya. “Moga Ammar menjadi anak yang baik kebanggaan ibu dan ayah…”
Sebelum tidur aku ingatkan juga si ibu. “Jangan terkejut kalau esok dia ulang balik kenakalannya.. kerana dah fitrah ragamnya begitu”
Meminjam kata-kata Abu Saif
Fitrah itu sumber Bahagia…
Entri Berkaitan:






















8 Responses to “Apakah Mereka Mengerti?”
By Kujie on Aug 11, 2009 | Reply
Dia akan faham kalau kena dgn cara kita terangkan, bergantung pada umur. Bentuk dia dgn kata2 sebagai seorg ketua kepada adik-adik, anak lelaki akan jaga mama kalau ayah tak ada…cakap selalu hal2 mcm ni..cakap selalu lelaki kena hormati wanita….jgn jemu utk beritahu dia..nanti bila umur meningkat , cara penerangan kita pun kena berubah..Insyaallah…dia faham
Itu pengalaman kak jie
p/s -komen semlm kat entri lepas tak keluar, msk spam ke?
[Reply]
By KampungBoy on Aug 11, 2009 | Reply
aku bab mendidik anak ini
aku teringat kata-kata presiden persatuan NURY
bagaimana, jangan selalu mengeluarkan perkataan jangan
tanpa diberikan alasan, sentiasa layan kerenah meraka walaupun kita rasa ia merimaskan kita
[Reply]
By nuaeman on Aug 11, 2009 | Reply
Saya usaha untuk didik dia macam tu kak jie.. kalau tengah tidur tu selalu sangat bisik kat telinga dia supaya jaga ibu dan adik-adik.. cuba lakukan segala terdaya untuk hantar dia ke masa depan sebagai seorang manusia..
p/s : komen kak jie tu takde langsung.. pelik juga saya..
[Reply]
By nuaeman on Aug 11, 2009 | Reply
Lagi satu seeloknya jangan bagi alasan yang mengarut.. tapi biasanya benda-benda tu digunakan oleh orang dulu2 dalam mendidik anak..
[Reply]
By samdaddycool on Aug 12, 2009 | Reply
Aku kagum cara ko didik anak. Semoga Ammar jadi anak yang soleh.. amin.
[Reply]
By nuaeman on Aug 12, 2009 | Reply
Sekadar lakukan apa yang termampu Sam.. inilah harta yang bernilai Allah kurniakan pada kita.. silap percaturan lain jadinya
[Reply]
By samdaddycool on Aug 12, 2009 | Reply
Betul tu.. mereka ibarat kain putih, kita yang corakkannya.. nak jadi hitam gelap atau berwarna warni yang menyeri…
[Reply]
By Hidet on Aug 13, 2009 | Reply
Bila berdekatan, pening ngn karenah anak2..bila berjauhan, mula lah rindukan karenah diorang tu..
[Reply]