Wajarkah Facebook diBoikot?


Ditulis pada June 2, 2010 – 2:05 pm | Oleh nuaeman
Share

Susulan serangan lanun laut rejim Israel keatas kapal yang membawa mereka-mereka yang menyertai konvoi Bantuan Flotilla  telah meningkatkan rasa amarah umat islam khususnya rakyat Malaysia apabila konvoi tersebut turut disertai beberapa sukarelawan dari Malaysia. Ada yang mungkin baru tersedar bahawa rejim Israel itu memang kejam kerana serangan kali ini melibatkan rakyat Malaysia walhal saudara-saudara Islam di Palestin hampir setiap hari di bedil dengan peluru mereka.

Beberapa gesaan dan kempen mengutuk tindakan rejim Israel di buat. Antara cadangan yang popular ialah memboikot segala produk yang ada hubungkait dengan Israel. Salah satunya ialah laman sosial yang cukup popular pada masa kini iaitu Facebook.  Alasannya pemilik laman sosial ini, Mark Zuckerberg juga seorang yahudi.

Ada dua perkara berkenaan komen saudara kita itu. Pertamanya boikot Facebook atas sebab ianya milik yahudi dan keduanya berkenaan kegilaan terhadap Facebook sehingga sepanjang masa dihabiskan menghadap laman sosial ini. Jadi, tentang alasan kedua itu ianya berkenaan dengan sikap kita terhadap Facebook. Kalau pun Facebook bukan dimiliki oleh bangsa yahudi sekalipun tetapi kaedah penggunaannya salah maka sesiapa pun tetap akan hanyut.

Perkara kedua yang mendesak agar Facebook segera diboikot adalah berkenaan penganjuran Kempen ‘Hari Melukis Muhammad’ pada 20 Mei lepas oleh salah seorang kartunis Amerika Syarikat, Molly Norris.  Muhammad yang dimaksudkan disitu ialah Junjungan Besar Nabi kita Muhammad saw.  Kempen ini benar-benar satu penghinaan kepada umat islam kerana kita tidak dibenarkan menggambarkan imej Nabi apalagi membuat karikatur.

Kerajaan Pakistan memandang serius isu tersebut apabila akses kepada laman sosial ini disekat setelah sekumpulan peguam Muslim mendapat arahan daripada mahkamah supaya menyekat Facebook sehingga 31 Mei. Ribuan pelajar juga mengadakan perhimpunan supaya laman sosial ini diharamkan berhubung isu tersebut. Saya juga sedang mencari dan menanti pandangan mereka yang ahli berkenaan hal ini.

Tentang Masalah Facebook dan Yahudi, dibawakan sisipan daripada artikel Ustaz Hasrizal Abdul Jamil.

FACEBOOK DAN YAHUDI

Dalam sentimen kemarahan kita terhadap apa yang menimpa umat Islam di bumi Palestin, kemahuan untuk melakukan sesuatu yang berbalut emosi sering membuatkan kita keterlaluan dalam tindakan.

Suatu ketika, kempen boikot berlangsung secara aktif.  Senarai panjang barangan dan perkhidmatan disebarkan untuk diboikot. Masyarakat terbahagi kepada beberapa kelompok dalam hal ini. Ada yang menolak sepenuhnya tindakan boikot, ada yang bertindak memboikot sepenuhnya apa sahaja yang berkaitan dengan Yahudi dan Amerika Syarikat, dan di celah kedua-dua aliran itu, ada yang bertindak memboikot secara selektif.

Tindakan memboikot secara selektif ini didorong oleh kesedaran bahawa mengharamkan secara mutlak urusniaga yang membabitkan Yahudi atau Nasrani semata-mata kerana dia itu Yahudi atau Nasrani, adalah suatu tindakan yang tidak menepati kehendak Syara’.

Di dalam Majalah al-Islam keluaran September 2009, terdapat sebuah artikel yang tajuknya amat serius berbunyi, “ZUCKERBERG GUNA FACEBOOK UNTUK BUNUH PENDUDUK PALESTIN”.

Apa yang tidak wajar berlaku ialah, makalah tersebut hanya mendedahkan aktiviti biasa pengasas Facebook, Mark Zuckerberg, sebagai seorang Yahudi yang ‘multazim’ (mempraktikkan agama Yahudi dalam kehidupan seharian). Tetapi justifikasi terhadap kebenaran dakwaan bahawa Zuckerberg menggunakan Facebook untuk membunuh penduduk Palestin, hanya ditulis dalam sebuah perenggan ringkas berbunyi:

“… Pun begitu sebelum pengharaman oleh dua buah negara tersebut dibuat, wujud desas-desus yang mengaitkan penglibatan laman web tersebut dalam membiayai peperangan di Gaza”

Itu sahaja kenyataan yang wujud di sepanjang artikel berkenaan dalam mengaitkan Facebook dengan jenayah perang di Palestin. Ada pun isi kandungan lain, kesemuanya menceritakan tentang betapa Yahudinya seorang anak muda bernama Mark Zuckerberg, sesuatu yang tidak pernah diputuskan oleh Islam sebagai sebab untuk produk atau perkhidmatannya diharamkan.

ASAL KEHARUSAN MUAMALAH BERSAMA YAHUDI

Terdapat begitu banyak keterangan daripada Sunnah bahawa berurusniaga dengan kaum Musyrikin dan Yahudi itu adalah harus. Misalnya di dalam sepotong hadith:

“Sesungguhnya Nabi sallallaahu ‘alayhi wa sallam membeli makanan daripada seorang Yahudi dengan pembayaran secara bertangguh dan mencagarkan baju besi baginda sallallaahu ‘alayhi wa sallam.” [Hadith riwayat al-Bukhari nombor 2326, 2/841]

Al-Imam al-Bukhari juga memberikan tajuk kepada salah satu bab di dalam Sahih beliau, yang mendatangkan hadith di atas sebagai, “BAB BERJUAL BELI DENGAN KAUM MUSYRIK DAN YAHUDI”.

Dalam mengulas hal ini, al-Imam al-Nawawi membuat kesimpulannya di dalam syarahan beliau kepada Sahih Muslim dengan berkata:

“Telah ijma’ seluruh umat Islam pada keharusan urusan dengan Ahli Zimmah dan lain-lain orang Kafir selagi mana urus niaga itu tidak jatuh di dalam perkara yang haram. Akan tetapi umat Islam tidak boleh ( haram) menjual senjata kepada musuh Islam yang sedang memerangi Islam, dan tidak boleh juga membantu mereka dalam menegakkan agama mereka” [Sharah Sahih Muslim oleh al-Nawawi, 11/40]

Keharusan ini hanya berubah dengan adanya dalil lain yang mengubah keharusan itu, atau berlakunya sesuatu yang mengubah konteks hadith ini. Di dalam kes Facebook, adalah sangat penting untuk didatangkan bukti bahawa Mack Zuckerberg membiayai regim Zionis di Palestin, dan artikel di Majalah al-Islam September 2009 itu gagal mendatangkannya.

Di hujung artikel tersebut, satu lagi dakwaan dibuat pada menyatakan bahawa, “dengan klik sahaja pada Facebook kita juga turut sama menjadi pembunuh orang Palestin di Gaza

Namun sama juga seperti sebelumnya, tiada sebarang bukti diketengahkan pada menunjukkan bagaimanakah penjanaan keuntungan Facebook disalurkan kepada regim Zionis yang menjajah bumi Palestin”.

Kita tidak mahu wujudnya satu budaya paranoid umat Islam yang melatah dengan mudah tatkala didatangi oleh kenyataan-kenyataan seperti ini. Orang Islam sangat cepat dimanipulasi sebagai agen merosakkan produk dan perkhidmatan melalui penyebaran email yang mendakwa ada benda tidak halal, ada campuran beracun dan lain-lain yang mana sebahagaiannya adalah palsu. Ia hanya membuktikan bahawa orang Islam banyak kerisauan tetapi tidak banyak berusaha untuk menyelidik bagi menghilangkan kerisauan tersebut.

Islam tidak pernah mengharamkan Muslim membeli atau menggunakan apa-apa produk dan perkhidmatan daripada non Muslim termasuk Yahudi. Mengharamkan pembelian atau penggunaan sesuatu produk atau perkhidmatan hanya dengan alasan ia milik Yahudi, boleh mengheret kita terjebak kepada perbuatan MENGHARAMKAN APA YANG HALAL, yang mana perbuatan itu sama buruknya dengan MENGHALALKAN APA YANG HARAM.

Malah perbuatan anti Yahudi secara semberono begitu adalah bersifat perkauman yang dibenci oleh Islam.

Facebook terbuka sebagai satu ruang untuk dimanfaatkan sebagai medium perhubungan dan penyebaran maklumat. Ia boleh berfungsi sebagai alat dakwah serta penyebaran maklumat, sebagaimana ia juga boleh berfungsi sebagai alat pemasaran. Seandainya di Facebook ada kempen yang memburuk-burukkan Islam, maka gunakanlah ruang yang ada untuk kempen memburuk-burukkan Islam itu ditukar kepada suatu bentuk promosi yang menimbulkan rasa ingin tahu manusia kepada Islam, seperti yang banyak berlaku pasca 11 September 2001.

Namun, jika umat Islam menghabiskan masa di Facebook dengan aplikasi yang melalaikan tanpa sebarang tujuan, penggunaan Facebook boleh menjadi haram ke atas golongan seperti ini, sama seperti pembabitannya dalam aktiviti kosong yang lain.

Ini pula sedikit tips untuk mengatasi ketagihan daripada Ustaz Hasrizal.

PANDUAN MENGATASI KETAGIHAN

Sedikit nasihat buat mereka yang mengalami ketagihan Facebook, buangkan segala aplikasi third party seperti kuiz, permainan dan yang seumpama dengannya. Gunakan Facebook sebagai alat komunikasi bersama rakan-rakan, isikan ia dengan perbincangan, perbualan yang merapatkan ukhuwwah dan menambah pengetahuan secara berhemah.

Andaikata langkah mudah ini pun gagal mengurangkan tahap ketagihan berkenaan, tamatkan akaun Facebook dan carilah kehidupan yang lebih bermakna di luar sana.

Untuk membaca artikel penuh boleh terus keSINI.

Apa pula pendapat kita? Wajarkah Facebook diboikot?

Related Posts with Thumbnails

Entri Berkaitan:

  1. Perjalanan seorang anakmuda membina empayar dengan Facebook
  2. Palestin : Suatu Sorotan (Bahagian dua)

Tags: , , ,

Artikel ditulis oleh nuaeman

Seorang lelaki, suami dan juga bapa yang sederhana.

Nuaeman Telah Menulis 417 Artikel Setakat Ini .

Langgan feed melalui RSS atau EMAIL untuk mendapat pemberitahuan tentang artikel terkini dari Nuaeman.

  1. 20 Responses to “Wajarkah Facebook diBoikot?”

  2. By hafizmd on Jun 2, 2010 | Reply

    Satu kupasan yg sungguh menarik.

    Ramai antara kite yg cepat melatah. Bile jer timbul isu mcam ni..habis semua barang keluaran yahudi dan sekutunya nak diboikotkan..

    padahal saye rase adalah lebih baik kite berfikir, belajar, dan menggunakan sesuatu itu utk kebaikan bersama..

    dalam hal fb ni, saye tak rase perlu diboikot, ape yg perlu ialah kite gunakan medium tanpa sempadan ni..sebarkan islam seluas2nya..bukan buat statament yg merugikan agama dan bangsa kite sendiri..

    p/s – maaf kalau saye silap..

    [Reply]

  3. By muhammad fakhruddin on Jun 2, 2010 | Reply

    Secara peribadi,jika kita tidak melihat hubungan langsung/ sumbangan Facebook kepada aktiviti Zionis di Palestin,ia masih wajar digunakan umat Islam.Begitu juga untuk kes boikot McD dan KFC,ada pertimbangan lain perlu diambil kira.

    Bagi mereka yang nekad,saya persilakan kerana sememangnya wujud laman sosial produk Muslim sendiri seperti Muxlim.com dan Umma-United.com

    Walau bagaimanapun, dalam hal penyebaran maklumat ternyata Facebook masih berkesan kerana popularitinya.Update mengenai serangan terhadap kapal bantuan Gaza juga rancak di Facebook dan Twitter.

    [Reply]

  4. By mijie on Jun 2, 2010 | Reply

    pendapat saya ialah, gunakan facebook untuk menyampaikan balik kepada mereka yg terlibat seperti israel bahawa dunia sgt bencikan dan marah dgn tindakan yg mereka lakukan…

    kita gunakan kemudahan yg disampaikan supaya mereka tahu dan faham apa yg kita lakukan…

    kalau nak boiket mengikut desas desus, tutup komputer dan duduk dalam hutan sbb hampir kesemua barangan yg kita gunakan kalau nak kaitkan mesti ada sedikitnya berkait dengan yahudi/israel

    [Reply]

  5. By zaryl on Jun 2, 2010 | Reply

    boikotttt! haha gurau je bro eh.. hehe

    pada aku bergantung la pada cara penggunaan, mcm ko terangkan dlm artikel kat atas.

    bagi aku walaupun aku takdelah membuang masa ‘sangat’ dengan facebook hehe tapi beralih kpd alternatif yg memberi sama faedah dan kebaikan dari segi sosial dan komunikasi contohnya tentu tak salah kan?

    pendapat aku je :)

    [Reply]

  6. By jawatan kosong on Jun 2, 2010 | Reply

    semua balik lagi ke orangnya. apa mo guna facebook buat kebaikan atau sebaliknya.

    [Reply]

  7. By Dila.13 on Jun 2, 2010 | Reply

    Kadang-kadang saya pelik dengan mereka-mereka yang selalu cakap tak serupa bikin. nak boikot sini, nak boikot sana.. bila check balik, mereka masih jugak tak delete account facebook mereka. logik ke kalau samakan yahudi israel dengan yahudi amerika atau yahudi dari negara-negara lain? lagipun yang buat porak peranda bukan di kalangan zionist kah? pelik, pelik..

    [Reply]

  8. By samdaddycool on Jun 3, 2010 | Reply

    Kalu seseorang Yahudi itu tak memerangi kita, mengapa kita nak bersikap ‘racsist’. Walhal, kebanyakkan kita yang curi masa waktu kerja bermain ‘Farmville’ / chatting tu lagi patut diboikot.

    [Reply]

  9. By nuaeman on Jun 3, 2010 | Reply

    Terima kasih atas pendapat yang diberikan, hafiz.

    Pendapat saya juga sebegitu. Yang penting kita jangan hanyut dengan aplikasi di dalam FB. Gunakan sebaiknya kelebihan yang ada disitu untuk dakwah

    [Reply]

  10. By nuaeman on Jun 3, 2010 | Reply

    Terima kasih dengan pendapat tuan.

    Pakistan juga telah mereka millatfacebook sebagai alternatif kepada FB. Saya baharu sahaja mendaftar.

    [Reply]

  11. By nuaeman on Jun 3, 2010 | Reply

    Ya, gunakan medium ini untuk menyebar luas kekejaman mereka serta berdakwah sesama muslim. Itu lebih baik

    [Reply]

  12. By nuaeman on Jun 3, 2010 | Reply

    Aku baru daftar millatfacebook. Khabarnya banyak pengisian disitu. FB aku pun baru-baru ini mula nak aktifkan diri.. ramai kawan lama yang sudah terputus hubungan.. jumpa balik kat situ..

    [Reply]

  13. By nuaeman on Jun 3, 2010 | Reply

    Maksud tuan bergantung Niat dan kaedah penggunaannya. Begitu?

    [Reply]

  14. By nuaeman on Jun 3, 2010 | Reply

    Mereka perlu baca buku “Online dengan tuhan”.. ada dicatatkan disitu.. tidak semua yahudi itu jahat..

    [Reply]

  15. By nuaeman on Jun 3, 2010 | Reply

    Aku sokong kenyataan itu Sam. Itu sudah termasuk kegilaan pada FB

    [Reply]

  16. By hasbul on Jun 4, 2010 | Reply

    saya rasa tak perlu diboikot dan kita perlu lihat dari sudut positif. kewujudan Facebook sepatutnya menjadi cabaran untuk umat Islam mencipta teknologi setanding facebook bahkan tak mustahil lebih daripada itu kita mampu membuatnya. sama juga kes seperti KFC dan MCD, tak perlu boikot dan tu merupakan satu cabaran untuk umat islam supaya membina perniagaan francais setanding mereka. Barulah sekiranya terdapat bantuan keamanan atau kebuluran, kita tak begitu mengharap dengan mereka.

    [Reply]

  17. By hafizmd on Jun 4, 2010 | Reply

    alhamdulillah..teruskan bro nuaeman dgn usaha dakwah melalui blog..

    [Reply]

  18. By samdaddycool on Jun 5, 2010 | Reply

    Kesian kat majikan yang bayar gaji kita. Lagi satu, dah dikira pecah amanah (SPRM bole sisasat ke??) :P

    [Reply]

  19. By catzer on Jun 5, 2010 | Reply

    Aku rasa dulu masa takde facebook pun dah ramai yg lalai dok main YM, lps YM kena blocked kat opis depa gile main FB..lps FB kena blocked depa main FB melalui iPhone.hehehe

    Erm, pada aku better aku kuatkan ekonomi aku sebaik mungkin dan bile ada tabung derma kemanusiaan tu huh pandai2lah nak berjihad dr segi bantuan kewangan. Nak jadi sukarelawan aku tak sampai tahap tu lagi,maklumlah ada tangunggan mak ayah lagi.

    Depa ni panas sekejap jerk, cuba ko minta sorang RM10 untuk derma kemanusiaan warga Palestin. Mampos depa lebih sanggup bakar duit beli rokok!

    [Reply]

  20. By nuaeman on Jun 5, 2010 | Reply

    Haa.. betul apa yang dikatakan tu catz.. memang panas telinga sesiapa yang membacanya.. bagi yang mengamalkan camtulaa.. tahap ketagihan FB dalam diri itu perlu dibendung..

    [Reply]

  21. By nuaeman on Jun 5, 2010 | Reply

    Terima kasih atas pandangan yang hasbul berikan.. benar kita patutnya mencipta alternatif kepada umat islam.. bukan hanya memboikot sahaja kemudian merugikan pihak kita.

    [Reply]

Post a Comment

CommentLuv badge