Kaitan Ilmu dengan Ukhuwah Islamiah – Ustaz Mat Esa Deraman


Ditulis pada November 16, 2011 – 1:09 pm | Oleh nuaeman
Share

Pada awal november lalu saya sempat sempat menghadiri satu siri kuliah khas yang disampaikan oleh yang berbahagia Ustaz Mat Esa Deraman di Masjid Bandar Baru Uda, Johor Bahru. Siapa Ustaz Mat Esa Deraman ini? Bagi mereka yang tinggal di sekitar Masai dan Pasir Gudang serta biasa pula menghadiri masjlis-majlis ilmu di sana maka nama ini mungkin sudah tidak asing lagi bagi mereka. Bagi yang masih belum mengenali, Ustaz Mat Esa Deraman merupakan salah seorang tokoh ilmuwan yang berasal dari Terengganu dan kini menetap di Johor Bahru. Beliau banyak menyampaikan kuliah-kuliah agama dengan mensyarahkan kitab-kitab yang mashyur di sekitar Masai dan Pasir Gudang. Meski kuliah beliau tidak terlalu dihiasi dengan kisah sandiwara atau usikkan yang mengundang gelak tawa namun penyampaian yang penuh adab serta sarat dengan ilmu itu berjaya menarik ratusan jemaah pada setiap majlis ilmu yang diadakan. Mungkin pada masa akan datang saya akan membuat satu entri khas berkenaan tokoh ilmuwan ini.

Dalam siri kuliah khas di Masjid Bandar Baru Uda tempoh hari Yang Berbahagia Ustaz diberikan satu tajuk bagi dikupas iaitu Kaitan Ilmu dengan Ukhwah Islamiah.  Sebagai mukaddimah kami diingatkan berkenaan nikmat Allah SWT yang begitu banyak kepada kita sebagai hambaNya. Oleh kerana terlalu banyaknya nikmat kurniaan Allah SWT maka kita menjadi manusia yang lupa untuk bersyukur. Di antara begitu banyak nikmat Allah SWT itu terdapat dua nikmat yang seringkali manusia merugikannya iaitu nikmat kesihatan dan nikmat kelapangan. Cuba tanya diri kita saat ini ke mana kita salurkan diri kita pada masa ada kesihatan dan kelapangan sebagai tanda syukur kepada Allah SWT?

Kemudian Yang Berbahagia Ustaz mengajak para jemaah memahami konsep ilmu dalam Islam sambil menghayati ayat Iqra’ dalam peristiwa penerimaan wahyu Nabi Muhammad SAW ataupun lebih tepat lagi kandungan ayat 1 hingga 5 surah Al-Alaq iaitu:

“Bacalah dengan (menyebut) nama Tuhanmu Yang menciptakan, Dia telah menciptakan manusia dari segumpal darah. Bacalah, dan Tuhanmulah Yang Maha Pemurah, Yang mengajar (manusia) dengan perantaraan kalam. Dia mengajarkan kepada manusia apa yang tidak diketahuinya.”

Menurut Yang Berbahagia Ustaz konsep ilmu di dalam Islam ialah semestinya ia membawa kita menghayati hakikat kita di hadapan Allah SWT dan kemudiannya nasihat beliau ilmu itu seharusnya dipelihara dan diikat dengan penulisan iaitu dicatit dan bukan hanya bersandar pada ingatan semata-mata kerana sekiranya kita hanya bersandar pada ingatan semata, besar kemungkinan kita boleh terlupa lalu berlaku khilaf. Ini menjadi nasihat berguna buat saya untuk sentiasa mencatit setiap ilmu yang disampaikan oleh para ilmuwan dalam mana-mana majlis ilmu yang saya hadiri.

Seterusnya Yang Berbahagia Ustaz menyambung perbahasan dengan menyampaikan beberapa fungsi ilmu beserta huraian yang bersesuai dengan tajuk yang diberikan pada malam itu. Antara fungsi-fungsi ilmu Islam yang sempat dicatat ialah:

1) Ketuhanan (Arrabbaniah) – Setiap ilmu datangnya dari Allah maka seharusnya sesuatu Ilmu yang kita pelajari menambah keyakinan kita kepada Allah SWT.

2) Mencetuskan Akhlak (Akhlakiah) – Ilmu menjadikan seseorang itu semakin berakhlak dan beradab dengan ilmu yang dimilikinya dan bukan mencetuskan kebiadapan sehingga wujud rasa riak dan ujub pada diri sendiri.

3) Kemanusiaan (Insaniah) – Bagaimana ilmu itu menerbitkan rasa kemanusiaan pada diri seseorang.

4) Universal (Alamiah) – Ustaz menterjemahkan sebagai bersifat antarabangsa namun berdasarkan huraian ustaz saya fikir perkataan yang lebih sesuai ialah universal ataupun sejagat iaitu bermaksud ilmu islam itu bukan hanya dikhaskan pada sesuatu bangsa dan golongan sahaja malah ialah sesuai kepada semua umat dan makhluk.

5) Toleransi – Ilmu Islam tidak mengajar kita untuk cenderung pada sesuatu fahaman atau mazhab sahaja namun kita dinasihatkan untuk menghormati pandangan antara satu sama lain sebagaimana ulama terdahulu yang bertoleransi dan menghormati pandangan masing-masing dalam perkara khilaf.

6) Lengkap-melengkapi – Setiap ilmu itu terkait antara satu sama lain sebagai contoh bagi mereka yang mahu menuntut ilmu al-quran tidak bermakna mereka dengan sewenang-wenangnya boleh menolak hadis. Begitu juga dengan ilmu-ilmu Islam lain seperti fikah, tasauf dan sebagainya.

7) Kebanggaan tersendiri - Semestinya ilmu Islam itu punyai nilai kehebatan dan kebanggaannya yang tersendiri.

Secara jelasnya yang saya faham, berdasarkan fungsi-fungsi ilmu Islam yang disebutkan Yang Berbahagia Ustaz itu maka kita dapat memahami bahawa Ilmu Islam yang sebenarnya menjadikan seseorang itu semakin tunduk dan patuh kepada Allah SWT disamping mempengaruhi akhlak seseorang supaya lebih berhikmah dalam menyampaikan ilmu serta bersifat terbuka dan bertoleransi sekiranya ada khilaf dalam sesuatu perkara demi ikatan ukhwah islamiah. Tiadalah ilmu itu menambah bongkak pada diri seseorang dengan wujud perasaan hanya diri mereka sahaja yang betul sehingga menjejaskan persaudaraan sesama Islam. Rumusan ini bersandar pada kefahaman saya namun sekiranya ada kesilapan serta kekhilafan di pihak saya maka saya mohon maaf dan bagi sesiapa yang punya pandangan yang lebih baik maka bolehlah menyatakannya.

Kuliah khas itu diakhiri dengan satu nasihat daripada Yang Berbahagia Ustaz iaitu kita menuntut ilmu bukan kerana mahu menghimpunkan ilmu tetapi kita menuntut ilmu demi beramal dengan ilmu yang kita perolehi.

Hanya Allah Yang Lebih Mengetahui

Abu Ammar

Related Posts with Thumbnails

Entri Berkaitan:

  1. Fenomena Ustaz Azhar Idrus
  2. Kesan Dosa pada diri…
  3. Syamail Muhammadiah
  4. Bila ilmu menjadikan manusia cacamarba
  5. Panjang Usia dengan Blog

Tags: , , , ,

Artikel ditulis oleh nuaeman

Seorang lelaki, suami dan juga bapa yang sederhana.

Nuaeman Telah Menulis 417 Artikel Setakat Ini .

Langgan feed melalui RSS atau EMAIL untuk mendapat pemberitahuan tentang artikel terkini dari Nuaeman.

  1. 2 Responses to “Kaitan Ilmu dengan Ukhuwah Islamiah – Ustaz Mat Esa Deraman”

  2. By samanosuke_04 on Nov 16, 2011 | Reply

    huhu, bleh post kat iluvislam nie.. siap ada ringkasan untuk ceramah ustaz tue lagi, dapat gak bagi ilmu kat orang² yang jarang pegi majlis ilmu cam aku nie.. alhamdulillah…

    nice post :D

    [Reply]

    nuaeman Reply:

    Lama tak nampak? ( padahal tuan punya blog lama tak update hehehe.. ). Apapun terima kasih kerana masih sudi berkunjung.

    [Reply]

Post a Comment

CommentLuv badge