Umat Islam umpama Dinasour


Ditulis pada December 26, 2008 – 4:36 pm | Oleh nuaeman
Share

Untuk renungan di hari Jumaat yang mulia ini aku bawakan satu wawancara antara Dr Danial Zainal Abidin dengan wartawan akhbar Berita Harian.Temubual ini dilakukan 3 tahun lalu dan keratannya berada di dalam arkib aku sehingga kini. Apa agaknya yang dimaksudkan dengan ‘Umat Islam seperti Dinasour’?. Kita ikuti temubual ini:-

DR DANIAL Zainal Abidin, doktor perubatan dan pakar runding perubatan moden adalah penulis buku ‘7 Formula Individu Cemerlang’ yang membongkar rahsia kejayaan dan kecemerlangan individu sejak beribu tahun dulu dengan menggunakan al-Quran dan As-Sunnah sebagai landasan perbincangan dan diolah secara moden lagi saintifik. Ikuti wawancara Pengarang Sastera, Berita Harian, SALBIAH ANI, dengan beliau.  

BH: Mengapakah Dr Danial memilih menulis buku yang sama sekali berbeza daripada bidang pengkhususan iaitu perubatan moden?

DD: Sebenarnya ada sebuah buku saya menjurus kepada topik perubatan moden iaitu ‘Perubatan Islam dan Bukti Sains Moden’ dan kini memasuki edisi ke-2. Saya akui sebahagian buku saya yang lain tidak memfokuskan aspek perubatan moden. Bagi saya Islam adalah agama yang lengkap lagi komprehensif dan tidak hanya memperkatakan perubatan semata-mata. Justeru saya perlu memperkenalkan Islam yang lengkap kepada masyarakat. Tambahan pada masa ini masyarakat secara amnya sedang ditimpa pelbagai penyakit berkaitan kerohanian, cara fikir, sikap dan cara hidup. Formula Islam yang lengkap perlu diketengahkan untuk merawat penyakit ini.

BH: Apakah perkara yang menggerakkan Dr Danial dalam bidang penulisan?

DD: Saya terangsang dengan firman Allah swt dalam surah Ali Imran, ayat 110 bermaksud: “Kamu adalah umat yang terbaik yang dilahirkan bagi manusia, kamu menyuruh kepada makruf dan mencegah kemungkaran dan kamu beriman kepada Allah”. Ayat ini menuntut umat Islam agar menjadi satu umat yang proaktif dan bukannya pasif. Mereka disuruh bergerak dan berperanan terutamanya dalam konteks mengajak manusia kepada makruf dan mencegah kemungkaran tanpa melupakan iman diri sendiri. Penulisan antara medan yang baik untuk menyebarkan konsep ini. Apabila kita menulis kita sedang memelihara ilmu dan sejarah. Tanpa penulisan, ilmu dan sejarah akan hilang. Pada hari ini kita mengenali pemikiran Ibn Khaldun, Ibn Sina, Imam Al-Ghazali, An-Nawawi dan ramai lagi kerana penulisan mereka dan khazanah ini perlu dikembangkan.

BH: Bagaimanakah Dr Danial ‘mencuri’ masa untuk menulis di sebalik jadual kerja sebagai doktor perubatan, pakar runding dan pengelola slot Rangsang Minda dan Islam Moden di Radio Malaysia Pulau Pinang?

DD: Allah mempermudahkan ini bagi saya. Sebenarnya saya kerdil berbanding pencapaian tokoh Islam pada abad ke-9 seperti Al-Kindi. Beliau berjaya menghasilkan 250 buku bidang astronomi, matematik, fizik, geometri, perubatan, psikologi dan mantik. Bagaimanapun saya mengakui pengurusan masa penting dalam kehidupan. Antara taktik pengurusan masa yang saya gunakan ialah meletakkan matlamat serta merancang. Saya mewajibkan diri untuk berdisiplin demi mengejar matlamat itu. Saya juga belajar untuk berkata ‘tidak boleh’ pada ajakan serta jemputan yang tidak penting.

BH: Apakah hasrat Dr Danial apabila mengepilkan petikan kata-kata Yusuf Islam (Cat Stevens): ‘Budaya dan nilai hidup Barat adalah seperti sebuah kapal yang sedang tenggelam dan umat Islam sedang berebut-rebut membeli tiket untuk menaikinya’ dalam buku terbabit?

DD: Kata-kata Yusuf Islam ini bagi saya begitu bermakna kerana ia dilafazkan oleh seorang yang dilahirkan dan dibesarkan di Barat. Beliau sedar cara hidup Barat adalah seperti kapal yang sedang tenggelam atau fatamorgana yang memperdayakan. Justeru beliau memilih Islam sebagai cara hidup. Hanya orang yang ada ketajaman mata hati yang mampu membuat pendirian seperti itu. Cara hidup Islam mementingkan takwa dan ilmu. Cara hidup Barat mementingkan material serta nafsu.

BH: Mengapakah Dr Danial memilih untuk membongkar rahsia kejayaan dan kecemerlangan individu sejak beribu tahun dulu dengan menggunakan al-Quran sebagai landasan perbincangan dalam ‘7 Formula Individu Cemerlang’?

DD: Al-Quran ialah kitab Allah yang Maha Agung dan boleh dikiaskan seperti satu peta yang lengkap. Untuk memahami kehebatannya, kitab ini perlu dihidupkan secara praktikal. Apabila manusia menghidupkannya, mereka akan menjadi golongan yang cemerlang, gemilang dan terbilang. Golongan yang berjaya menghidupkannya ialah sahabat dan umat Islam pada peringkat awal terdahulu. Kesan daripada penghidupan itu mereka berjaya membina satu tamadun gilang gemilang. Tamadun ini berjaya mengeluarkan Barat dari Zaman Kegelapan. Umat Islam pada hari ini sedang berada di tahap yang paling hina. Justeru di dalam buku ’7 Formula Individu Cemerlang’ saya menjadikan umat Islam terdahulu sebagai contoh kerana mereka berjaya menjadi pemangkin kepada perubahan yang mengagumkan dan kejayaan itu berlaku dirangsang oleh Al-Quran.

BH: Mengapakah Dr Danial mengatakan ‘7 Formula Individu Cemerlang’ ditulis untuk mereka yang tidak mahu menjadi seperti dinosour yang pupus semasa dunia berubah?

DD: Memang benar di muka depan buku ini saya mengatakan perkara yang disebutkan ini. Dinosaur adalah satu makhluk yang besar dan pernah bermaharaja di dunia. Apabila perubahan berlaku di dunia disebabkan komet berlanggar dengan bumi, dinosaur tidak mampu menangani perubahan itu. Akhirnya mereka mati dan pupus. Jumlah umat Islam pada hari ini melebihi 1 bilion. Perubahan pula sedang berlaku dengan pesat. Malangnya ramai umat Islam yang leka dan tidak peka mengenai perkara ini. Mereka yang berminat dengan Islam pula asyik berbicara dan bertengkar mengenai perkara ranting dan remeh. Fanatik sempit wujud di mana-mana: fanatik mazhab, fanatik kelompok dan fanatik ideologi. Akhirnya kerja penting seperti dakwah kepada bukan Islam, penyelidikan dalam bidang baru seperti Al-Quran dan sains dan pembinaan kemahiran baru untuk penyebaran dakwah diabaikan. Saya khuatir jika keadaan ini berterusan, umat Islam akan menjadi tidak relevan. Justeru umat Islam perlu berubah dan berani membuka minda serta keluar dari kepompong lama mereka untuk menjadi gilang gemilang pada hari ini.

BH: Apakah karya terbaru yang sedang ditangani?

DD: Saya sedang membaca dan menganalisis maksud seluruh Al-Quran untuk melahirkan buku baru, ‘Tip Kecemerlangan Dari al-Quran’. Semoga Allah membantu saya.

BH: Bagaimanakah cara untuk menyedarkan umat Islam bahawa mereka gagal melihat Islam sebagai berlian yang ditinggalkan? 

DD: Islam boleh diumpamakan seperti batu berlian dan ramai yang membuang berlian ini dan memilih kaca. Mengapa Islam yang hebat dipinggirkan? Ia mungkin berpunca daripada cara mengajar dan sumber ajaran. Cara mengajar yang menekankan fikah ranting, hafalan tanpa kefahaman, pendekatan tidak saintifik dan penekanan kepada perkara remeh boleh menyebabkan sebahagian manusia menjauhi Islam. Di sudut sumber, ramai daripada kalangan orang Islam tidak memahami al-Quran.

BH: Bagaimanakah umat Islam dapat digerakkan agar menjadi manusia yang suka membaca dan menghargai karya berilmu? 

DD: Umat Islam, terutamanya di Malaysia, rata-ratanya boleh membaca dan sering kali membaca. Yang menjadi isunya ialah bahan yang dibaca. Tabiat suka membaca bahan berkualiti perlu ditanam sejak kecil. Setiap rumah perlu ada kutubkhanah kecil. Ibu bapa boleh memberi galakan dengan memberi hadiah jika buku berkualiti dibaca oleh anak-anak di samping mereka menjadi contoh dalam aspek ini. Sudut perbincangan buku di sekolah boleh diwujudkan. Penulis perlu kreatif dengan penulisan mereka untuk menarik minat pembaca. Media massa elektronik seperti TV, perlu kerapkan pengiklanan buku yang baik. Ilmuwan perlu lebih ditonjolkan daripada artis agar ilmu dapat dimartabatkan.

Untuk pengetahuan semua, buku ‘Tip Kecemerlangan Dari al-Quran’ telah pun diterbitkan oleh PTS publication dan kepada mereka yang berhasrat untuk memilikinya bolehlah mendapatkan di ‘Bookstore’ berhampiran. Isinya memang cukup bagus.

Related Posts with Thumbnails

Entri Berkaitan:

  1. Sejarah Kesultanan Islam di Johor
  2. Akhirnya Jacko benar-benar memeluk Islam

Artikel ditulis oleh nuaeman

Seorang lelaki, suami dan juga bapa yang sederhana.

Nuaeman Telah Menulis 417 Artikel Setakat Ini .

Langgan feed melalui RSS atau EMAIL untuk mendapat pemberitahuan tentang artikel terkini dari Nuaeman.

  1. 4 Responses to “Umat Islam umpama Dinasour”

  2. By Kujie on Dec 26, 2008 | Reply

    adakah suatu hari nnt, tulang temulang kita akan dipamerkan di galeri muzium

    membaca…

    bacalah

    Kujie’s last blog post..Ia tetap tidak kan sama.. bagi menindih cinta pertama

    [Reply]

  3. By eZad on Dec 26, 2008 | Reply

    Wah mmg hebat, kena cari gak buku ni nnti..hehe

    [Reply]

  4. By adsense alternative on Dec 27, 2008 | Reply

    aku adalah dinasour? uhhh..

    adsense alternative’s last blog post..RX-Comission – The First Pharmacy Affiliates Program

    [Reply]

  5. By Azah on Dec 28, 2008 | Reply

    pjg nye…malas plak nak baca..hohoh….

    [Reply]

Post a Comment

CommentLuv badge