nuaeman?

Siapa nuaeman? Nuaeman adalah sekadar nama pena ataupun satu jenama yang secara tak sengaja digunakan pada mulanya. Akhirnya ianya menjadi sebati dan kekal sehingga kini. Nama sebenar nuaeman ialah Ahmad Fairoz bin Daud yang merupakan seorang suami dan juga bapa kepada dua orang putera. Bertugas di salah sebuah firma swasta di johor Bahru dan blogging merupakan salah satu aktiviti sampingan.

Blog ini bertujuan untuk berkongsi sedikit pengalaman dan pengetahuan yang dimiliki pemiliknya.  Sekiranya ada pengisiannya yang mengguris hati sesiapa, ampun dan maaf dipinta kerna ianya berlaku tanpa disengajakan. Andaikata ada kesilapan pada sebarang fakta yang ditulis disini amat diharap teguran yang membina dari pembaca.

Selingkar Kisah : Semangat Anak Kampung

Aku bukanlah hadir dari keluarga yang senang. Abah aku adalah seorang tukang kebun sekolah dan pada masa yang sama beliau juga mencari hasil dilaut sebagai nelayan. Syukur kerana abah bertemu jodoh dengan mak yang mana walaupun tak bekerja dan menjadi surirumah sepenuh masa, mak masih mampu membantu mengurangkan beban kewangan abah dengan cara menjual kuih setiap pagi. Hasil jualan kuih mak sudah cukup untuk dijadikan belanja sekolah kami 7 beradik .

Tidak seperti rakan-rakan sekampung yang lain, aku tidak pernah merasai alam awal persekolahan. Ketika kanak-kanak lain sibuk dihantar ke tadika, kelas bimbingan kanak-kanak dan sebagainya, aku hanya belajar mengenal huruf dan mengira dari majalah kanak-kanak yang abah belikan seperti Bambino, Mingguan Kanak-kanak, Bujal dan beberapa lagi. Timbul juga persoalan di hati ini mengapa abah tidak menghantar aku ke tadika sepertimana ibu bapa lain tetapi ianya kekal tidak berjawab sehinggalah aku memulakan persekolahan di tahun satu.

Walaupun aku tidak pernah mendapat bimbingan awal dari sekolah tadika tetapi dorongan yang Abah berikan dengan pembelian majalah-majalah kanak-kanak itu sudah mencukupi untuk aku tidak merasa kekok apabila menjejakkan kaki ke alam persekolahan sebenar. Buktinya pada peperiksaan akhir untuk tahun satu ketika itu, aku mendapat no 3 setelah dinilai dari keseluruhan pelajar yang mana boleh dikatakan keputusan yang aku terima adalah lebih baik berbanding rakan-rakan yang telah mendapat didikan awal dari sekolah tadika. Aku percaya bahawa keputusan yang boleh dikira cemerlang itu adalah hasil motivasi dari dorongan serta kepercayaan Abah kepada aku.

Itulah titik tolaknya untuk aku terus berjuang dalam pelajaran sehingga aku kini telah berjaya mencapai tahap kemuncak dalam karier apabila dilantik sebagai Pengurus Pengeluaran dan Kualiti di salah sebuah firma swasta nun di selatan tanah air

Selingkar Kisah : Keinginan Yang Tidak Pernah Padam

Badan aku terasa begitu lemah dan sangat longlai bilamana mendapat tahu skim pelaburan Internet yang aku sertai sudah tidak beroperasi lagi. Ini bermakna ribuan wang yang telah dilaburkan hangus begitu sahaja. Kabur pandangan seketika. Rupanya apa yang aku sangkakan mengenai pelaburan internet selama ini silap sama sekali. Barulah aku tahu, ini sebenarnya bukanlah cara yang betul untuk menambah pendapatan secara online. Arghh!

Bermula dari detik itu aku sentiasa mencari-cari informasi bagaimanakah kaedah yang sebetulnya untuk menjana pendapatan di Internet. Aku bermula dengan program-program “Get Paid To Click” (GPT) yang hanya mampu memberikan beberapa sen setiap bulan. Memang jika difikirkan apa yang dibuat itu amatlah tidak berbaloi tetapi ianya bagus sebagai pelajaran awal untuk aku. Pada ketika ini aku hanya tahu mengenai Egold, sebagai salah satu akaun maya di Internet bagi menyimpan wang-wang yang diperolehi dari program-program sebegitu. Setelah letih dengan program – program GPT aku kenal pula dengan adsense. Tetapi jodoh kami tidak lama. Walaupun aku sedar itu adalah salah satu lubuk duit, pengalaman dua kali akaun di ‘banned’ membuat hati aku tawar untuk bergiat dengan adsense. Walaubagaimanapun aku tidak duduk diam dan terus mencari-cari peluang-peluang menjana pendapatan di Internet yang sesuai dengan jiwa aku.

Puas mencari akhirnya aku bertemu dengan kaedah yang sangat kena dengan aku iaitu FREELANCER. Pada awalnya aku hanya menerima beberapa sen sahaja dari kerja-kerja seperti daftarkan akaun email , buat komen di blog dan buat post di dalam forum. Dari sinilah aku mula mendaftar akaun paypal dan dari sini jugalah aku mula merasa mendapat wang melebihi nilai 1 dollar. Aku tak kisah kalau ada sesiapa yang kata bayaran yang aku terima amat sedikit berbanding kerja yang dilaksanakan kerana aku seronok lakukan kerja-kerja sebegitu. Bagi aku sekiranya Robert T.Kiyosaki pernah lakukan kerja dengan bayaran yang murah sebelum berjaya, mengapa tidak aku. Biarlah nilai-nilai yang kecil itu menjadi pemangkin untuk aku memperolehi jumlah lebih besar dikemudian hari.

Rezeki aku dengan ‘freelancer’ semakin bertambah apabila aku mula bergiat dengan penulisan artikel. Kali ini aku berpeluang melihat nilai lebih besar masuk ke akaun paypal aku. Dari beberapa sen kemudian beberapa dollar dan kini aku menyaksikan sendiri 20 hingga 50 dollar dihantar terus ke akaun. Terasa puas sekali apabila berjaya meraih hasil dengan kaedah yang betul.

Sehingga kini, ditambah dengan pendapatan dari blog yang baru sahaja aku ceburi, cukuplah untuk aku buat bayaran bulanan kereta serta bil-bil broadband dan pada masa yang sama aku sudah mula menanam hasrat untuk terus bergiat menjana pendapatan di internet secara lebih aktif . Jika boleh, aku ingin menjadikan ianya sebagai kerjaya sepenuh masa! Aku cemburu melihat mereka – mereka yang telah berjaya. Aku percaya jika mereka semua mampu lakukan maka aku juga tak terkecuali sekiranya terus berusaha. Kegagalan yang aku alami pada awalnya bukan kegagalan sebenar tetapi sebetulnya aku hanya belum berjaya. Ditambah dengan keinginan yang tak pernah padam ini aku yakin aku akan perolehi apa yang aku impikan!

Sedikit Motivasi

Di dalam kerjaya, aku telah mencapai satu tahap kemuncak yang telah aku tetapkan tetapi kini aku telah mencipta satu lagi matlamat yang mesti aku gapai. Setelah berjaya menghasilkan ribuan ringgit dari Internet maka ingin sekali aku bergerak secara sepenuh masa. Di dalam carta perancangan hidup aku, matlamat tersebut perlu digapai sebelum usia aku mencecah 35 tahun dan paling awal adalah pada 2010 setelah urusan pembelian rumah baru aku selesai. Semuanya telah dinyatakan dengan jelas di dalam carta tersebut. Samada akan menjadi kenyataan atau tidak hanya Tuhan yang akan tentukan kerana usaha kearah itu telah aku laksanakan.

Apa yang aku faham untuk memotivasikan kita dalam mencapai sasaran kita perlu ada satu matlamat yang jelas. Disamping itu kisah-kisah kejayaan orang lain juga boleh menjadi sumber inspirasi buat kita. Untuk aku sendiri, kisah Conrad Hilton sentiasa membakar semangat aku. Daripada seorang yang mempunyai masalah kewangan kerana kemelesetan ekonomi pada 1929 yang hampir-hampir meragut bisnes hotel dan kedai dobinya, akhirnya beliau telah berjaya menjadi satu tokoh legenda di dalam bidang perhotelan. Sebabnya pada satu ketika beliau telah ternampak satu gambar hotel mewah, Hotel Waldorf lalu memotong gambar tersebut serta menyimpannya di dalam dompet. Beliau memendam hasrat untuk berjaya dalam bidang perhotelan serta memiliki hotel sebagaimana Hotel Waldorf. Hasilnya, 18 tahun kemudiannya Hilton telah berjaya membeli Hotel Waldorf!

Setiap orang ada cerita-cerita kejayaan yang menjadi sumber inspirasi buat mereka dan sekarang kita sudah boleh melakar kisah kita sendiri untuk dijadikan motivasi buat orang lain pula di suatu masa nanti. Jika mereka semua boleh mengapa tidak kita?

Aku teringin berikan warkah ini pada bos aku.

Salam kenal

Nuaeman

Bookmark Artikel nih:
  • BlinkList
  • co.mments
  • De.lirio.us
  • del.icio.us
  • Digg
  • Facebook
  • Furl
  • Google
  • Netvouz
  • NewsVine
  • Reddit
  • Smarking
  • Socialogs
  • Spurl
  • StumbleUpon
  • Technorati
  • TwitThis