Jun 29

Terkadang rasanya bagaikan ingin menempik atas apa yang berlaku keatas aku. Tetapi bila berfikir semula aku mula akur atas segala ketentuan Tuhan. Memang diakui blog ini semakin sunyi dan pengunjung juga semakin berkurangan. Rankingnya juga perlahan-lahan semakin jatuh.

Ada yang bertanya “apa dah jadi?”. Apakah aku dah rasa berjauh hati untuk berblog atau tiada idea lagi untuk nukilkan sesuatu disini. Emm.. sebenarnya ada sahaja cerita nak aku kongsikan tetapi seperti belum diberi keizinan lagi kepada aku untuk aktif sebagaimana sebelum ini. Memang sekiranya tidak kuat semangat mungkin aku akan lupakan sahaja aktiviti ber’blogging’ ini.

Masalah demi masalah yang datang sememangnya menghalang aku untuk berblog seperti biasa yang mana bukan sahaja disini bahkan pada blog blog aku yang lain juga. Apapun  aku cuba jadikan semua tu sebagai satu cabaran kepada aku cuma andailah ditakdirkan memang rezeki aku bukan disini maka sebagai makhluk tuhan aku perlu Redha…

Ahah! sebagai orang Johor minggu ni kebanyakkannya bercuti hingga hari Isnin termasuk aku. Aku manfaatkan tiga hari cuti ni untuk balik ke kampung dan kemudian bawa keluarga berkelah di Air Papan Mersing. Kamera Digital rosaklah pulak… (angkara anak sulung aku lee ni yang tak sengaja menghinjak-hinjak kamera tu hingga pecah lensanya) , kalau tak boleh jugak aku kepilkan beberapa gambar kat sini.

Setelah cukup rehat rasanya keghairahan aku berblog masih menebal. Insya_Allah walau apa jua halangan, blogging akan tetap diteruskan!

Adios!

Jun 14

Deringan telefon memecah keheningan pagi Ahad aku. Berita yang disampaikan dari panggilan tersebut telah aku jangkakan sejak awal lagi lantas aku terus dapatkan isteri dan meminta supaya dia bertenang. Dengan nada perlahan aku katakan.. ” Ayah dah bagitau ibu kan.., sepertimana yang ayah katakanlah..” Isteri aku faham maksud kata-kata aku dan alhamdulillah dia tenang.. walau air mata telah mula bergenang di  kelopak matanya.

Kami tak menunggu lama untuk bersiap kerana dokumen arwah ada di tangan kami seperti kad pengenalan dan sebagainya. Jadi untuk melaporkan kematian juga perlukan kehadiran kami. Tanpa bersarapan pagi itu , terus sahaja aku , isteri dan anak-anak berangkat ke rumah mak mertua aku. Bapa mertua aku telah pergi buat selama-lamanya dan sekiranya melihatkan keadaannya sebelum ini berita ini tidaklah mengejutkan tetapi tetap menyedihkan. Ketika dalam perjalanan, sambil menenangkan isteri disebelah aku teringat semula saat-saat akhir ketika arwahnya masih ada dan sebenarnya gerak hati aku telah lama memberitahu tentang akan berlakunya perkara ini.

Sekitar 100 hari sebelumnya…

“Buat apa Bak nak keluarkan duit simpanan tu.., Ayah bukan apa bu.. memandangkan duit simpanannya pun bukan banyak mana. Nanti kalau apa-apa berlaku kat susah.. ” Begitulah lebih kurang kata-kata aku kepada isteri ketika dia memberitahu Arwah nya nak keluarkan kesemua duit simpanan bagi tujuan menambah baik rumah. Aku tidaklah terus menentang tetapi sekadar meminta dipertimbangkan semula hasratnya tu. Apapun keinginan arwah begitu ketara kali ini maka kami beralah, pada aku biarlah.. ini hajatnya dan duit itu pun duit dia. Pada ketika tu Arwahnya telah mula sakit lutut tetapi masih boleh untuk bangun dan berjalan dengan menggunakan tongkat.

Sekitar 40 hari sebelumnya..

Alhamdulillah.. kerja menambah baik rumah telah pun selesai. Sempat arwahnya melihat rumahnya yang telah siap diubahsuai. Tak lama selepas itu Arwah tiba-tiba hilang selera makan dan badannya pun beransur kurus. Dalam masa yang sama Arwah kelihatan mula meracau-racau mengatakan ada seorang tua yang kerap berada di sisinya hampir setiap masa walhal tiada sesiapa pun disitu. Ketika itu aku telah mula rasa sesuatu. ” Ibu.. ayah tengok keadaan Bak tu.. agak lain macam sikit. Bukan maksud ayah yang dia takde harapan cuma.. ayah harap sekarang ni ibu mula sedia untuk hadapi apa sahaja kemungkinan. Bukan kita harap  ia berlaku tapi.. yelah.. benda tu tetap akan jadi.. ” Isteri aku faham benar apa yang aku cuba sampaikan.. perlahan – lahan air jernih membasahi pipinya..

7 hari sebelumnya…

Ketika sedang membeli makanan untuk makan malam tiba-tiba aku dapat panggilan dari rumah mak mertua. Di hujung talian abang ipar aku dengan nada sedih memberitahu keadaan Arwahnya seakan teruk dan meminta kami balik secepat mungkin. Kami terus bergegas dan di dalam kereta air mata isteri aku telah tidak tertahan lagi. Sesampai sahaja di rumah mak mertua aku, kelihatan beberapa jiran di luar rumah seolah-olah membayangkan sesuatu. Tempat yang pertama dituju adalah bilik arwah dan aku lihat arwah masih terbaring dalam keadaan yang begitu uzur. Badan beliau yang dulunya agak gempal tetapi dalam waktu yang sungguh singkat yang jelas kelihatan hanyalah tulang temulang. Aku terus memegang kakinya, masih panas.. “ouchh! sakitt!”  tetiba dia bersuara dan isteri aku cuba suapkan bubur. Nampak berselera pulak arwahnya makan pada malam itu., tiba-tiba datang pula seleranya. Lintasan hati aku semakin risau menyaksikan apa yang berlaku walau yang lain-lain nampak keadaan itu bagaikan ada sisa-sisa harapan untuk beliau sembuh. ” Jangan terlalu berpuas hati ye bu.. ” Aku cuba ingatkan isteri supaya sentiasa bersedia untuk hadapi apa sahaja kemungkinan.

5 hari sebelumnya..

“Ayah.. boleh tak ibu ambil duit simpanan kita lagi untuk beli ubat untuk Bak?” . Walau pada aku tiada lagi sisa harapan tetapi aku tak menghalang isteri untuk usaha beli apa sahaja ubat yang difikirkan baik untuk arwah. Kerana aku tak nak dia rasa terkilan sebagai seorang anak. Usahalah mana yang dirasakan termampu.

1 hari sebelumnya..

“Kenapa Bak ko ni..? suap apa semua dia sembur balik” Mak mertua aku bersuara. Keadaan Arwah kembali teruk. Apa sahaja makanan yang cuba disuapkan tidak lagi mahu diterimanya.  Petang itu aku meminta kebenaran untuk balik sebentar menjenguk rumah sambil ambil baju kerja serta selesaikan apa yang perlu.  Lagipun dah lama juga rumah tu ditinggalkan. Sempat kami mengadap arwah sebentar sebelum berangkat pulang. Malam itu aku bersuara lagi pada isteri ” Esok kita kena balik semula Bu,   melihatkan keadaan Bak ayah risau kalau-kalau dia tak sempat bertemu dengan waktu Asar esok ” . Aku terangkan pada isteri yang tanda-tanda yang aku lihat dah semakin jelas. Pada waktu mengadap Arwah petang itu aku lihat kakinya dah terlunjur begitu rata sekali. Lintasan hati aku juga semakin kuat cuma aku ada keupayaan bersuara pada isteri sahaja.

Rupanya lintasan hati aku sekian lama memang membawa bisikan yang benar. Suasana rumah mertua aku tiba-tiba menjadi hening dan penuh dengan tangisan. Satu keadaan yang biasa bilamana kita bertemu dengan kematian. Sesampai sahaja aku cuba usahakan apa yang termampu supaya jenazah dapat disempurnakan sesegera yang mungkin. Bermula dengan membuat report ke Balai Polis berdekatan, menempah permit kubur sehinggalah jenazah selamat dikebumikan sebelum zuhur…

Sesungguhnya Janji Allah itu benar..

Al-fatihah buat Mohamad bin Sempoh..

Moga rohnya dicucuri rahmat..

Amin…

Jun 10
Masanya akan tiba…
icon1 nuaeman | icon2 Agama, Umum | icon4 06 10th, 2009| icon36 Comments »

Nampaknya dah terlalu lama blog ini tidak dikemaskini. Entri terakhir aku juga tak kelihatan atas sebab perpindahan hosting ke server yang baru. Aku ada mengatakan pada entri tersebut untuk kembali aktif tetapi itu hanya rancangan aku dan aku tak dapat menafikan rancangan Allah. Apa yang terjadi akan aku kongsikan nanti cuma hari ini ingin sekali aku abadikan sesuatu disini buat tatapan semua khasnya untuk mereka-mereka yang mengakui beragama Islam. Sesuatu yang pasti.. dan sememangnya pasti akan berlaku. Suatu peringatan yang semuanya telah  tahu tetapi kerap terlepas pandang..

Tanda-Tanda Saat-Saat Kematian

“Bagaimana kamu kufur (ingkar) dengan Allah dan adalah kamu itu mati maka kamu dihidupkan, kemudian kamu dimatikan kemudian kamu dihidupkan kemudian kepada-Nya kamu dikembalikan” (Surah Al-Baqarah : Ayat 28)

Adapun tanda-tanda kematian mengikut ulamak adalah benar dan ujud cuma amalan dan ketakwaan kita sahaja yang akan dapat membezakan kepekaan kita kepada tanda-tanda ini.

Rasulallah SAW diriwayatkan masih mampu memperlihat dan menceritakan kepada keluarga dan sahabat secara lansung akan kesukaran menghadapi sakaratulmaut dari awal hinggalah akhirnya hayat Baginda.

Imam Ghazali rahimahullah diriwayatkan memperolehi tanda-tanda ini sehinggakan beliau mampu menyediakan dirinya untuk menghadapi sakaratulmaut secara sendirian. Beliau menyediakan dirinya dengan segala persiapan termasuk mandinya, wuduknya serta kafannya sekali cuma ketika sampai bahagian tubuh dan kepala sahaja beliau telah memanggil abangnya iaitu Imam Ahmad Ibnu Hambal untuk menyambung tugas tersebut. Beliau wafat ketika Imam Ahmad bersedia untuk mengkafankan bahagian mukanya.

Adapun riwayat-riwayat ini memperlihatkan kepada kita sesungguhnya Allah s.w.t. tidak pernah berlaku zalim kepada hambanya. Tanda-tanda yang diberikan adalah untuk menjadikan kita umat Islam supaya dapat bertaubat dan bersedia dalam perjalanan menghadap Allah s.w.t. Walaubagaimanapun semua tanda-tanda ini akan berlaku kepada orang-orang Islam sahaja manakala orang-orang kafir iaitu orang yang menyekutukan Allah nyawa mereka ini akan terus di rentap tanpa sebarang peringatan sesuai dengan kekufuran mereka kepada Allah s.w.t.

Adapun tanda-tanda ini terbahagi kepada beberapa keadaan:

Tanda 100 hari sebelum hari mati.

Ini adalah tanda pertama dari Allah s.w.t. kepada hambanya dan hanya akan disedari oleh mereka-mereka yang dikehendakinya. Walaubagaimanapun semua orang Islam akan mendapat tanda ini cuma samada mereka sedar atau tidak sahaja. Tanda ini akan berlaku lazimnya selepas waktu Asar. Seluruh tubuh iaitu dari hujung rambut sehingga ke hujung kaki akan mengalami getaran atau seakan-akan mengigil.

Contohnya seperti daging lembu yang baru disembelih dimana jika diperhatikan dengan teliti kita akan mendapati daging tersebut seakan-akan bergetar. Tanda ini rasanya lazat dan bagi mereka sedar dan berdetik di hati bahawa mungkin ini adalah tanda mati maka getaran ini akan berhenti dan hilang setelah kita sedar akan kehadiran tanda ini.

Bagi mereka yang tidak diberi kesedaran atau mereka yang hanyut dengan kenikmatan tanpa memikirkan soal kematian, tanda ini akan lenyap begitu sahaja tanpa sebarang munafaat. Bagi yang sedar dengan kehadiran tanda ini maka ini adalah peluang terbaik untuk memunafaatkan masa yang ada untuk mempersiapkan diri dengan amalan dan urusan yang akan dibawa atau ditinggalkan sesudah mati.

Tanda 40 hari sebelum hari mati

Tanda ini juga akan berlaku sesudah waktu Asar. Bahagian pusat kita akan berdenyut-denyut. Pada ketika ini daun yang tertulis nama kita akan gugur dari pokok yang letaknya di atas Arash Allah s.w.t. Maka malaikatmaut akan mengambil daun tersebut dan mula membuat persediaannya ke atas kita antaranya ialah ia akan mula mengikuti kita sepanjang masa.

Akan terjadi malaikat maut ini akan memperlihatkan wajahnya sekilas lalu dan jika ini terjadi, mereka yang terpilih ini akan merasakan seakan-akan bingung seketika. Adapun malaikatmaut ini wujudnya cuma seorang tetapi kuasanya untuk mencabut nyawa adalah bersamaan dengan jumlah nyawa yang akan dicabutnya.

Tanda 7 hari

Adapun tanda ini akan diberikan hanya kepada mereka yang diuji dengan musibah kesakitan di mana orang sakit yang tidak makan secara tiba-tiba ianya berselera untuk makan.

Tanda 3 hari

Pada ketika ini akan terasa denyutan di bahagian tengah dahi kita iaitu diantara dahi kanan dan kiri. Jika tanda ini dapat dikesan maka berpuasalah kita selepas itu supaya perut kita tidak mengandungi banyak najis dan ini akan memudahkan urusan orang yang akan memandikan kita nanti.

Ketika ini juga mata hitam kita tidak akan bersinar lagi dan bagi orang yang sakit hidungnya akan perlahan-lahan jatuh dan ini dapat dikesan jika kita melihatnya dari bahagian sisi. Telinganya akan layu dimana bahagian hujungnya akan beransur-ansur masuk ke dalam. Telapak kakinya yang terlunjur akan perlahan-lahan jatuh ke depan dan sukar ditegakkan.

Tanda 1 hari

Akan berlaku sesudah waktu Asar di mana kita akan merasakan satu denyutan di sebelah belakang iaitu di kawasan ubun-ubun di mana ini menandakan kita tidak akan sempat untuk menemui waktu Asar keesokan harinya.

Tanda Akhir

Akan berlaku keadaan di mana kita akan merasakan satu keadaan sejuk di bahagian pusat dan ianya akan turun ke pinggang dan seterusnya akan naik ke bahagian halkum. Ketika ini hendaklah kita terus mengucap kalimah syahadah dan berdiam diri dan menantikan kedatangan malaikatmaut untuk menjemput kita kembali kepada Allah s.w.t. yang telah menghidupkan kita dan sekarang akan mematikan pula. Seelok-eloknya bila sudah merasa tanda yang akhir sekali, mengucap dalam keadaan qiam and jangan lagi bercakap-cakap.

Sesungguhnya marilah kita bertaqwa dan berdoa kepada Allah s.w.t. semoga kita adalah di antara orang-orang yang yang dipilih oleh Allah yang akan diberi kesedaran untuk peka terhadap tanda-tanda mati ini semoga kita dapat membuat persiapan terakhir dalam usaha memohon keampunan samada dari Allah s.w.t. mahupun dari manusia sendiri dari segala dosa dan urusan hutang piutang kita.

Sumber : Himpunan Kisah-kisah Teladan