Dec 31
Bayi 2008 atau 2009?
icon1 nuaeman | icon2 Umum | icon4 12 31st, 2008| icon317 Comments »

Tinggal beberapa jam saja lagi tahun 2008 akan melabuhkan tirainya. Selain sibuk merencana matlamat untuk tahun hadapan aku juga dalam debaran menunggu kehadiran ahli baru dalam keluarga aku. Mengikut kepada maklumat yang diberikan oleh pihak hospital 11 Januari 2009 adalah tarikh akhir (due) tetapi dengan keadaan isteri aku tika ini saat tu bagai dah terlalu hampir.

Jadi selain debaran menantikan samada bayi yang bakal lahir itu lelaki ataupun perempuan aku juga meneka-neka apakah bayi ini akan lahir pada 2008 atau 2009. Apa yang pasti dia adalah anak tahun baru hijrah 1430. Sebenarnya tak kisahlah bila  akan lahir, yang paling penting ianya cukup sifat dan keadaan bayi serta ibunya adalah selamat.

Apa nama nak bagi kat baby ni yek… :)

Dec 30

##### (12/24/2008 2:45:44 AM): Assalamualaikum
Fairoz (12/24/2008 2:45:53 AM): waalaikumussalam..
#####(12/24/2008 2:46:08 AM): Apa yang ko belajar dengan RK sampai dapat 60 usd tuh?
Fairoz (12/24/2008 2:46:49 AM): Belajar dengan RK? eh bila pulak aku belajar dengan dia?
#####(12/24/2008 2:46:58 AM): Aku perasan screenshot ko dalam sales letter dia
Fairoz (12/24/2008 2:47:16 AM): Ohh.. itu kee.. itu memang hasil aku dapat tapi bukan belajar dgn dia                                                                                                                                    Fairoz (12/24/2008 2:47:55 AM): Cuma mungkin kaedah aku guna tu sama dengan apa yang dia tulis dalam ebook tu.

Aku berkali-kali mendapat soalan sebegini melalui YM sejak produk 50 usd sehari oleh Raja Kamil menjengah pasaran. Ada yang bertanya tentang kandungan ebook dan tak kurang juga tentang harganya yang pada sesetengah  orang agak tinggi . Ingin sekali diingatkan bahawa produk ini bukanlah produk aku dan aku tidak terlibat sama sekali dengan pembikinan ebook ini. Kehadiran aku hanyalah sebagai seorang ‘reviewer’ dan screenshot yang aku paparkan adalah hasil dari apa yang aku usahakan yang mana aku rasa ada berkait dengan apa yang disampaikan dalam ebook tersebut. Kekeliruan mungkin timbul kerana  aku pernah membuat personal coaching dengan nama ‘kaedah 5 hingga 50 usd sehari’ sebelum ini (Aku dah lama menghentikan coaching ini). Bagi yang menyangka aku menuntut dengan Raja Kamil pulak mungkin apabila pada sales letter yang terdahulu ada menyatakan screenshot aku adalah pendapatan dari anak murid beliau tetapi perkara ini telah diberitahu dan diperbaiki.

Kenyataan ini aku tujukan kepada mereka-mereka yang terus bertanyakan soalan yang sama kepada aku dan kiranya ada pertanyaan lagi selepas ini bolehlah aku hanya berikan link ke entri ini sahaja sebagai jawapan. Bagi yang ingin mendapatkan maklumat lanjut berkenaan produk tersebut bolehlah menghubungi terus Raja Kamil di blog beliau- rajakamil.com

Aku harap entri ini dapat menjawab segala kekeliruan yang timbul baik dipihak aku ataupun dipihak Raja Kamil sendiri.

Terima Kasih

Dec 29
Muhammad Nabeena
icon1 nuaeman | icon2 Agama | icon4 12 29th, 2008| icon3No Comments »

Keadaan aku agak kurang sihat setelah balik dari kampung semalam. Mungkin tiada catatan dapat aku nukilkan hari ini sekadar berkongsi satu video dari seorang saudara seislam di timur tengah. Aku sendiri ada terlibat dalam penghasilan sarikata untuk video ini. Aku sedar ada beberapa kelemahan dalam sarikata yang diletakkan cuma berharap mesej yang dibawa sampai kepada mereka-mereka yang menonton video ini. Insya_Allah..

* Video ini pernah diletakkan diblog ini sebelum ni tetapi telah hilang kerana masalah hosting

Dec 28

Dalam keghairahan menunggu ketibaan tahun baru masihi kita sebenarnya baru sahaja meninggalkan tahun hijrah 1429 yang melabuhkan tirainya tidak sampai 24 jam yang lalu. Apakah ada yang sedar akan kehadiran tahun baru Hijrah ini atau masih ramai yang terpinga-pinga?

Sekiranya dalam menyambut kedatangan tahun baru masehi kita sibuk menanam azam maka sebagai seorang muslim, tahun baru hijrah juga masa terbaik untuk kita melakukan perkara yang sama kearah menjadi insan yang lebih baik. Cuba memperbaiki segala kekurangan dan kesilapan di masa lalu demi kecemerlangan di masa depan sebagaimana hadith Rasullullah saw “Barangsiapa yang hari ini lebih baik dari hari kelmarin, maka itulah orang yang beruntung, Dan barangsiapa yang hari ini sama dengan hari kelmarin maka itulah orang-orang yang rugi”. Jadi pilihan sekarang di tangan kita.

Mungkin jika sebelum ini kita kurang membaca al-Quran, kurang bersolat Jemaah, kurang berqiamulail dan kurang berpuasa sunat maka untuk tahun 1430 Hijrah ini adalah elok untuk kita memperbaiki serta menambah mana-mana ibadah yang kurang diamalkan sebelum ini. Manakala jika kita banyak membuang masa pada hari-hari semalam apakata bermula hari ini kita cuba tinggalkan sedikit demi sedikit tabiat buruk itu dan digantikan dengan amalan-amalan yang lebih memberi manfaat kepada kita. Belajarlah dari kesilapan-kesilapan dimasa lampau bagi menjadi pedoman untuk menempuhi hari-hari mendatang. Bukankah rasulullah saw juga ada bersabda “Tidaklah patut seorang mukmin dipatuk ular dua kali berturut-turut dalam lubang yang sama” yang membawa maksud orang mukmin yang arif terhadap berbagai kesalahan yang terjadi pada masa yang lalu, tidak mungkin akan melakukan kesalahan yang sama dimasa depan.

Catatan ini adalah sebagai ingatan untuk diri aku dan sekiranya ada manfaat ambillah… Ketika kita masih dalam suasana yang agak tenang dalam menyambut tahun baru hijrah jangan dilupakan saudara-saudara kita di Palestin yang siang dan malamnya bermandikan bedilan Israel jahanam. Sisipkanlah doa buat mereka dan juga bumi Palestin.

Insya_Allah..

Selamat Tahun Baru Hijrah 1430

Mersing 28 Dec 2008

Dec 26
Umat Islam umpama Dinasour
icon1 nuaeman | icon2 Agama | icon4 12 26th, 2008| icon34 Comments »

Untuk renungan di hari Jumaat yang mulia ini aku bawakan satu wawancara antara Dr Danial Zainal Abidin dengan wartawan akhbar Berita Harian.Temubual ini dilakukan 3 tahun lalu dan keratannya berada di dalam arkib aku sehingga kini. Apa agaknya yang dimaksudkan dengan ‘Umat Islam seperti Dinasour’?. Kita ikuti temubual ini:-

DR DANIAL Zainal Abidin, doktor perubatan dan pakar runding perubatan moden adalah penulis buku ‘7 Formula Individu Cemerlang’ yang membongkar rahsia kejayaan dan kecemerlangan individu sejak beribu tahun dulu dengan menggunakan al-Quran dan As-Sunnah sebagai landasan perbincangan dan diolah secara moden lagi saintifik. Ikuti wawancara Pengarang Sastera, Berita Harian, SALBIAH ANI, dengan beliau.  

BH: Mengapakah Dr Danial memilih menulis buku yang sama sekali berbeza daripada bidang pengkhususan iaitu perubatan moden?

DD: Sebenarnya ada sebuah buku saya menjurus kepada topik perubatan moden iaitu ‘Perubatan Islam dan Bukti Sains Moden’ dan kini memasuki edisi ke-2. Saya akui sebahagian buku saya yang lain tidak memfokuskan aspek perubatan moden. Bagi saya Islam adalah agama yang lengkap lagi komprehensif dan tidak hanya memperkatakan perubatan semata-mata. Justeru saya perlu memperkenalkan Islam yang lengkap kepada masyarakat. Tambahan pada masa ini masyarakat secara amnya sedang ditimpa pelbagai penyakit berkaitan kerohanian, cara fikir, sikap dan cara hidup. Formula Islam yang lengkap perlu diketengahkan untuk merawat penyakit ini.

BH: Apakah perkara yang menggerakkan Dr Danial dalam bidang penulisan?

DD: Saya terangsang dengan firman Allah swt dalam surah Ali Imran, ayat 110 bermaksud: “Kamu adalah umat yang terbaik yang dilahirkan bagi manusia, kamu menyuruh kepada makruf dan mencegah kemungkaran dan kamu beriman kepada Allah”. Ayat ini menuntut umat Islam agar menjadi satu umat yang proaktif dan bukannya pasif. Mereka disuruh bergerak dan berperanan terutamanya dalam konteks mengajak manusia kepada makruf dan mencegah kemungkaran tanpa melupakan iman diri sendiri. Penulisan antara medan yang baik untuk menyebarkan konsep ini. Apabila kita menulis kita sedang memelihara ilmu dan sejarah. Tanpa penulisan, ilmu dan sejarah akan hilang. Pada hari ini kita mengenali pemikiran Ibn Khaldun, Ibn Sina, Imam Al-Ghazali, An-Nawawi dan ramai lagi kerana penulisan mereka dan khazanah ini perlu dikembangkan.

BH: Bagaimanakah Dr Danial ‘mencuri’ masa untuk menulis di sebalik jadual kerja sebagai doktor perubatan, pakar runding dan pengelola slot Rangsang Minda dan Islam Moden di Radio Malaysia Pulau Pinang?

DD: Allah mempermudahkan ini bagi saya. Sebenarnya saya kerdil berbanding pencapaian tokoh Islam pada abad ke-9 seperti Al-Kindi. Beliau berjaya menghasilkan 250 buku bidang astronomi, matematik, fizik, geometri, perubatan, psikologi dan mantik. Bagaimanapun saya mengakui pengurusan masa penting dalam kehidupan. Antara taktik pengurusan masa yang saya gunakan ialah meletakkan matlamat serta merancang. Saya mewajibkan diri untuk berdisiplin demi mengejar matlamat itu. Saya juga belajar untuk berkata ‘tidak boleh’ pada ajakan serta jemputan yang tidak penting.

BH: Apakah hasrat Dr Danial apabila mengepilkan petikan kata-kata Yusuf Islam (Cat Stevens): ‘Budaya dan nilai hidup Barat adalah seperti sebuah kapal yang sedang tenggelam dan umat Islam sedang berebut-rebut membeli tiket untuk menaikinya’ dalam buku terbabit?

DD: Kata-kata Yusuf Islam ini bagi saya begitu bermakna kerana ia dilafazkan oleh seorang yang dilahirkan dan dibesarkan di Barat. Beliau sedar cara hidup Barat adalah seperti kapal yang sedang tenggelam atau fatamorgana yang memperdayakan. Justeru beliau memilih Islam sebagai cara hidup. Hanya orang yang ada ketajaman mata hati yang mampu membuat pendirian seperti itu. Cara hidup Islam mementingkan takwa dan ilmu. Cara hidup Barat mementingkan material serta nafsu.

BH: Mengapakah Dr Danial memilih untuk membongkar rahsia kejayaan dan kecemerlangan individu sejak beribu tahun dulu dengan menggunakan al-Quran sebagai landasan perbincangan dalam ‘7 Formula Individu Cemerlang’?

DD: Al-Quran ialah kitab Allah yang Maha Agung dan boleh dikiaskan seperti satu peta yang lengkap. Untuk memahami kehebatannya, kitab ini perlu dihidupkan secara praktikal. Apabila manusia menghidupkannya, mereka akan menjadi golongan yang cemerlang, gemilang dan terbilang. Golongan yang berjaya menghidupkannya ialah sahabat dan umat Islam pada peringkat awal terdahulu. Kesan daripada penghidupan itu mereka berjaya membina satu tamadun gilang gemilang. Tamadun ini berjaya mengeluarkan Barat dari Zaman Kegelapan. Umat Islam pada hari ini sedang berada di tahap yang paling hina. Justeru di dalam buku ‘7 Formula Individu Cemerlang’ saya menjadikan umat Islam terdahulu sebagai contoh kerana mereka berjaya menjadi pemangkin kepada perubahan yang mengagumkan dan kejayaan itu berlaku dirangsang oleh Al-Quran.

BH: Mengapakah Dr Danial mengatakan ‘7 Formula Individu Cemerlang’ ditulis untuk mereka yang tidak mahu menjadi seperti dinosour yang pupus semasa dunia berubah?

DD: Memang benar di muka depan buku ini saya mengatakan perkara yang disebutkan ini. Dinosaur adalah satu makhluk yang besar dan pernah bermaharaja di dunia. Apabila perubahan berlaku di dunia disebabkan komet berlanggar dengan bumi, dinosaur tidak mampu menangani perubahan itu. Akhirnya mereka mati dan pupus. Jumlah umat Islam pada hari ini melebihi 1 bilion. Perubahan pula sedang berlaku dengan pesat. Malangnya ramai umat Islam yang leka dan tidak peka mengenai perkara ini. Mereka yang berminat dengan Islam pula asyik berbicara dan bertengkar mengenai perkara ranting dan remeh. Fanatik sempit wujud di mana-mana: fanatik mazhab, fanatik kelompok dan fanatik ideologi. Akhirnya kerja penting seperti dakwah kepada bukan Islam, penyelidikan dalam bidang baru seperti Al-Quran dan sains dan pembinaan kemahiran baru untuk penyebaran dakwah diabaikan. Saya khuatir jika keadaan ini berterusan, umat Islam akan menjadi tidak relevan. Justeru umat Islam perlu berubah dan berani membuka minda serta keluar dari kepompong lama mereka untuk menjadi gilang gemilang pada hari ini.

BH: Apakah karya terbaru yang sedang ditangani?

DD: Saya sedang membaca dan menganalisis maksud seluruh Al-Quran untuk melahirkan buku baru, ‘Tip Kecemerlangan Dari al-Quran’. Semoga Allah membantu saya.

BH: Bagaimanakah cara untuk menyedarkan umat Islam bahawa mereka gagal melihat Islam sebagai berlian yang ditinggalkan? 

DD: Islam boleh diumpamakan seperti batu berlian dan ramai yang membuang berlian ini dan memilih kaca. Mengapa Islam yang hebat dipinggirkan? Ia mungkin berpunca daripada cara mengajar dan sumber ajaran. Cara mengajar yang menekankan fikah ranting, hafalan tanpa kefahaman, pendekatan tidak saintifik dan penekanan kepada perkara remeh boleh menyebabkan sebahagian manusia menjauhi Islam. Di sudut sumber, ramai daripada kalangan orang Islam tidak memahami al-Quran.

BH: Bagaimanakah umat Islam dapat digerakkan agar menjadi manusia yang suka membaca dan menghargai karya berilmu? 

DD: Umat Islam, terutamanya di Malaysia, rata-ratanya boleh membaca dan sering kali membaca. Yang menjadi isunya ialah bahan yang dibaca. Tabiat suka membaca bahan berkualiti perlu ditanam sejak kecil. Setiap rumah perlu ada kutubkhanah kecil. Ibu bapa boleh memberi galakan dengan memberi hadiah jika buku berkualiti dibaca oleh anak-anak di samping mereka menjadi contoh dalam aspek ini. Sudut perbincangan buku di sekolah boleh diwujudkan. Penulis perlu kreatif dengan penulisan mereka untuk menarik minat pembaca. Media massa elektronik seperti TV, perlu kerapkan pengiklanan buku yang baik. Ilmuwan perlu lebih ditonjolkan daripada artis agar ilmu dapat dimartabatkan.

Untuk pengetahuan semua, buku ‘Tip Kecemerlangan Dari al-Quran’ telah pun diterbitkan oleh PTS publication dan kepada mereka yang berhasrat untuk memilikinya bolehlah mendapatkan di ‘Bookstore’ berhampiran. Isinya memang cukup bagus.

« Previous Entries