29
Pembentangan Bajet 2009!
Posted by | Posted in Isu Semasa, Santai.. | Posted on 29-08-2008

Maka hari ini berkumpullah segala pemimpin tertinggi di negeri anta berantah untuk mendengar titah ucapan sang memanda menteri berkenaan belanjawan atau sekarang lebih senang disebut “bajet” yang mana satu lagi perkataan jawa yang telah digunapakai supaya nampak dasar pandang ke timurnya negeri ini.
Semua seakan tidak sabar menanti apakah yang akan di sampaikan oleh memanda menteri kali ini. Bukan sahaja menteri-menteri bawahan yang semua datang dengan kipas hikmat mereka bahkan jerung-jerung yang berperut besar sedang menunggu dengan penuh minat apakah ruang dan peluang untuk mereka menyusup masuk dalam pada usaha untuk menambah kekayaan.
Di satu sudut lain begitu ramai rakyat jelata juga ternanti-nanti pembentangan dari memanda menteri . Mereka sedar dan bersyukur sangat berada di negeri ini kerana pemimpin-pemimpin atasan amat prihatin pada masalah mereka dan sebagai rakyat yang hidup umpama peminta sedekah ini mereka tak seharusnya mempersoal apa sahaja yang dibuat oleh kerajaan negeri . Dengan itu mereka hanya mengharap sedikit ikhsan dari memanda menteri untuk sedekahkan seringgit dua kepada mereka atas nama “subsidi”. Itupun jika ada kalau tak ada mereka tahu kerajaan negeri dah terlalu banyak berkorban untuk rakyat maka mereka sememangnya dah terlalu faham dan kene faham semua tu.
Suasana menjadi hening seketika bila memanda menteri mula naik ke pentas untuk memulakan pembentangannya. Agak lewat juga memanda menteri sampai tadi katanya tertidur sebentar di kereta tetapi ingat beliau tidak lena. Dengan senyum kucing memanda menteri mula membaca teks pembentangan yang katanya baru disiapkan subuh tadi.
Lebih kurang 2 jam memanda menteri membahaskan kertas pembentangan sebelum ditutup dengan rasmi yang juga dihiasi dengan senyum kucing beserta harapan semua puas dengan langkah bajetnya kali ini. Ada 4 perkara penting yang baru ditambah oleh memanda menteri dalam ucapan bajetnya kali ini.
- Sekian juta diperuntukkan untuk biasiswa kepada para pelajar yang ditendang kolej atau universiti. Ini sebagai langkah menghargai usaha murni mereka tetapi sesiapa yang ingin memohon perlu beratur di pejabat timbalan memanda menteri.
- Sekian billion pula akan diperuntukkan untuk mendidik dan mengajar sebahagian katak-katak di kepulauan borneo merayap supaya mereka tidak lagi melompat.
- Beberapa ribu dikhaskan untuk menerbitkan sebuah kitab “Bagaimana kaedah Bersumpah/Bermubahalah dengan Betul ” yang akan dikeluarkan oleh Jabatan Mufti Wilayah Anta Berantah dan diedarkan kepada seluruh menteri dan bekas menteri.
- Lebih sekian juta diperuntukkan pula untuk menerbitkan satu risalah kecil bagi diberikan secara percuma kepada seluruh rakyat jelata. Risalah ini dinamakan “ Memahami Definisi Subsidi”
Pelbagai reaksi dari menteri hingga ke rakyat jelata berkenaan bentangan bajet memanda menteri kali ini. Rata-rata menteri mengatakan ini adalah bajet yang terbaik pernah mereka dengar selama mereka hidup. Rata-rata rakyat jelata pula begitu terharu dengan pembentangan yang dibahaskan sebentar tadi. Ada yang menangis kerana tidak dapat menahan rasa terharu mereka dengan langkah kerajaan yang pemurah ini. Memanda menteri sudah tiada di dewan ketika para wartawan cuba mendapatkan pandangannya. Diberitakan beliau telah tertidur kembali didalam kereta kerana terlalu lama berucap.. Owh!
*Kisah ini adalah rekaan semata-mata dan tidak ada kene mengene dengan yang hidup atau yang mati sekiranya berkenaan ianya terjadi secara KEBETULAN.


